Proses pemberian vaksin perlu dipercepatkan

Proses pemberian vaksin perlu dipercepatkan

Kota Kinabalu: Proses pemberian vaksin di Sabah perlu dipercepatkan berikutan jumlah kes positif pandemik itu kini berada pada tahap membimbangkan.

Selain itu, ia juga memerlukan lebih perhatian terutamanya membabitkan pengagihan jumlah vaksin mengikut lokasi, tenaga kerja dan kelengkapan perubatannya.

Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang berkata, perkara paling asas yang mengecewakan adalah pengagihan bekalan vaksin yang masih terlalu rendah untuk negeri ini.

Katanya, mengikut rekod, Sabah terlalu jauh ketinggalan dalam jumlah penerima vaksin Covid-19 berbanding negeri lain disebabkan oleh masalah kekurangan bekalan vaksin.

“Berdasarkan demografi dan keluasan Negeri Sabah. Tanpa strategi yang sesuai, ia bukan saja melambatkan proses vaksinasi tetapi juga dikhuatiri menjadikan pandemik ini semakin sukar dikawal.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini juga wajar dikaji dan dirangka semula bersesuaian dengan kekurangan tenaga kerja dan kelengkapannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Felix berkata, apa yang pasti, Sabah memerlukan peruntukkan yang lebih besar bagi menambahbaik dan mempercepatkan proses vaksinasi di seluruh negeri ini.

Sementara itu, Felix berkata, kerajaan juga perlu
memperhebatkan kempen kesedaran kepada masyarakat untuk menerima suntikan vaksin.

Katanya, melalui proses vaksinasi ini, ia mampu mempercepatkan pemulihan ekonomi secara langsung dan tidak langsung di Sabah.

“Sekiranya semua perkara ini tidak dikawalselia dengan baik, sasaran imuniti berkelompok tidak akan mampu dicapai menjelang Oktober depan,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|