Pemain muda bantu Sabah FC bawa pulang satu mata

Pemain muda bantu Sabah FC bawa pulang satu mata

Kota Kinabalu: Pemain muda Sabah FC membuktikan keupayaan mempertahankan pasukan daripada dibelasah di gelanggang lawan hingga berjaya membawa pulang satu mata ketika berdepan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu, malam tadi.

Aksi Liga Super berkesudahan 0-0 itu menyaksikan pasukan Sang Badak menurunkan ramai pemain muda selepas lima tonggak utama tidak diturunkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Antara pemain yang tidak diturunkan ialah Alto Linus dan Randy Baruh yang masing-masing mengumpul tiga kad kuning selain Park Taesu yang cedera ketika perlawanan menentang Sri Pahang FC pada Khamis lalu.

Pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto, berkata beliau tidak mempunyai pilihan terpaksa menurunkan pemain muda yang mempunyai tahap stamina dan kecergasan tinggi untuk memberi fokus kepada bahagian pertahanan selain cuba melakukan serangan balas pantas ke kubu lawan.

Rombakan barisan pemain juga katanya dilakukan kerana faktor keletihan beberapa pemain berikutan terpaksa mengharungi perjalanan darat selama lapan jam menggunakan bas ke Kuala Terengganu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Saddil Ramdani dan Amri Yahya hanya dimasukkan pada separuh masa kedua kerana mereka mempunyai kekuatan dalam mengawal dan mengatur permainan agar tempoh permainan dapat dikawal.

“Kita tahu penyerang Josip Ivancic juga terpaksa dikeluarkan, jadi hanya Bobby Gonzales yang dapat menggantikan tempatnya.

“Kita harus beri pujian kepada Bobby kerana bukan hanya fokus untuk menyerang malah sering bekerja keras membantu pasukan ketika sedang bertahan. Secara keseluruhan saya cukup berpuas hati dengan aksi keseluruhan mereka,” katanya mengulas pencapaian Sabah FC dalam perlawanan menentang Terengganu FC, malam tadi.

Kurniawan berkata selepas berehat hampir dua bulan, Sabah FC tiada perlawanan yang dapat menguji kekuatan pasukan dan hanya dapat melakukan dua perlawanan persahabatan untuk melihat keserasian pemain muda yang jarang diturunkan.

“Beberapa ‘game’ utama seperti ketika bertemu PJ City FC dan Sri Pahang FC kita ‘target’ untuk menang. Jadi pemain Sabah FC memang perlu terus dalam keadaan ‘fit’ bagi mengelak berlakunya beberapa kesilapan sehingga menyebabkan kekalahan tempoh hari,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Likas Rabu ini, Kurniawan berkata, sasaran sememangnya untuk memenangi perlawanan itu kerana beberapa pemain yang tidak bermain malam tadi kan kembali beraksi.

“Apa yang paling penting, semua pemain mesti lebih fokus dan bekerja lebih keras kerana sudah banyak dibolosi gol disebabkan kesilapan pemain sendiri dan kita mahu perkara itu tidak berulang lagi dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Mengenai sasaran untuk berada dalam senarai lima teratas carta liga, Kurniawan berkata beliau hanya mahu anak buahnya memberi aksi terbaik dalam setiap permainan dan tidak mahu mereka dalam tertekan menghadapi pihak lawan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|