Penduduk Kampung Balat dapat ‘karan’ 24 jam sehari

Penduduk Kampung Balat dapat ‘karan’ 24 jam sehari

Kinabatangan: Penantian sekian lama lebih 400 penduduk Kampung Balat, di sini, untuk mendapatkan bekalan elektrik berakhir dengan siapnya Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata bekalan elektrik 24 jam itu sekali gus menamatkan kesukaran penduduk yang sebelum ini bergantung kepada set janakuasa sendiri, selain pelita.

Katanya, projek BELB di kampung itu mula dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2013 melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, namun menghadapi pelbagai kekangan seperti penyusunan semula kampung dan masalah pendawaian.

“Alhamdulillah hari ini setelah penantian bertahun-tahun penduduk di kampung ini untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam akhirnya menjadi realiti.

“Ia bukan saja memberi kemudahan yang selesa kepada penduduk, malah mampu menjana sumber pendapatan melalui pelbagai aktiviti perniagaan yang mereka usahakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata penyiapan projek itu penting sejajar usaha kerajaan memastikan tiada kawasan dibiarkan terpinggir daripada pembangunan.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag, Abu Bakar Gapar, berkata sebanyak 76 rumah mendapat kemudahan bekalan elektrik 24 jam iaitu 33 rumah di penempatan program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Kampung Balat, manakala 43 rumah lagi di perkampungan yang disusun semula di kawasan itu.

Seorang penduduk Kampung Balat, Masnah Aloi, berkata usaha kerajaan menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk berhubung kemudahan itu amat dihargai.

“Terima kasih kepada kerajaan khsususnya Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin kerana kami sudah menikmati bekalan elektrik 24 jam selepas sekian lama kami menunggu kemudahan asas ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan (JPKK) Kampung Balat, Sharin Abdul Rauf, berkata ketiadaan kemudahan elektrik sebelum ini menyukarkan mereka yang tidak berkemampuan membeli enjin jana kuasa sendiri.

“Mereka yang tidak mampu membeli enjin jana kuasa sendiri untuk menjana elektrik kerana harganya mahal hanya bergantung kepada pelita untuk menerangi rumah pada waktu malam.

“Sehubungan itu, dengan adanya kemudahan elektrik 24 jam yang kini disalur ke kampung kami, ia memberi nafas baharu kepada penduduk yang dahagakan kemudahan itu,” katanya.

Bagi Ketua Daerah Mengundi Kampung Balat, Jaafar Suar, berkata beliau gembira melihat rumah kini diterangi lampu menggunakan bekalan elektrik yang disalurkan 24 jam sehari.

Katanya, dia juga bersyukur masalah pendawaian elektrik yang tertangguh sejak sekian lama diselesaikan hasil komitmen Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag.

“Bekalan elektrik sangat membantu kami melakukan aktiviti harian dan lebih memudahkan anak-anak belajar dan mengulang kaji pelajaran pada waktu malam, malah lebih seronok apabila ada kipas,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|