Warga pendidik perlu kemahiran digital

Warga pendidik perlu kemahiran digital

LAHAD DATU: Pendidikan adalah aspek terpenting dalam usaha kita melahirkan masyarakat yang berpengetahuan dan membangun negara.

Ahli Lembaga Pengelola Humana Child Aid Society Sabah (HCASS), Datuk Mizma Appehdullah berkata, para guru memainkan peranan besar dalam merealisasikan usaha ini.

Mizma berkata, para guru perlu mempersiapkan diri, bukan sahaja dengan pengetahuan, tetapi juga dengan kemahiran seperti kemahiran digital.

“Kemahiran digital ini dapat membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dijalankan dengan lebih efisien.

“Penggunaan teknologi dalam PdP juga mampu menarik minat pelajar dengan adanya bahan bantu mengajar yang lebih interaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru HCASS.

Menurut Mizma, penggunaan teknologi digital juga dapat melahirkan pelajar yang kreatif dan berinovasi selain dapat membantu para pelajar mendepani cabaran pendidikan abad ini.Katanya, selaras dengan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini iaitu, ‘Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani’, para guru diharapkan akan terus berbakti memberi ilmu kepada anak-anak.

“Kita tahu bahawa para guru, termasuk di HCASS berdepan dengan pelbagai kekangan dan cabaran dalam menyampaikan ilmu kepada anak-anak.

“Namun dalam usaha kita mencapai aspirasi negara Madani, para guru adalah tulang belakang dalam melahirkan individu yang cemerlang dan memajukan negara.

“Justeru itu, kita berharap agar para guru terus berusaha memberikan komitmen demi melahirkan masyarakat yang berilmu,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif HCASS, Dayang Norihsan Jainal dalam ucapannya berharap agar semua pihak dapat bersama-sama HCASS dalam memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik (underprivileged) di Sabah.

Dayang berkata, kerjasama ini penting bagi memastikan anak-anak ini tidak ketinggalan dalam pelajaran kerana ilmu pengetahuan yang dapat membantu mereka pada masa akan datang.

“Kita juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk syarikat-syarikat perladangan yang menyumbang serta membantu kita merealisasikan usaha memberi pendidikan kepada anak-anak di HCASS,” tambahnya.

Dalam pada itu, Penyelaras HCASS, Faizal Darisa berkata, cakna dengan kepentingan pendidikan buat semua, HCASS berusaha memberi akses pendidikan kepada kanak-kanak yang menghadapi kekangan seperti jarak, kemampuan, status dan sebagainya.

Katanya, dalam usaha memberikan akses pendidikan, guru-guru di HCASS berdepan dengan kekangan seperti kawasan pedalaman yang jauh jaraknya dan beberapa tempat tidak mempunyai jaringan perhubungan serta persekitaran PdP yang tidak kondusif dan kekurangan fasiliti.

Justeru itu, beliau berharap agar pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia dapat bersama-sama dengan HCASS dalam usaha ini.

“Saya berharap kita semua dapat berganding bahu dalam menyediakan persekitaran yang kondusif dan pendidikan yang berkualiti untuk semua.

“Saya yakin dengan kesepakatan ini, kita akan dapat melahirkan individu yang berdaya tahan yang mampu berdepan dengan cabaran,” tambahnya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|