Vermikompos mampu bantu petani Kota Belud jana pendapatan daripada sisa pertanian

Vermikompos mampu bantu petani Kota Belud jana pendapatan daripada sisa pertanian

KOTA BELUD: Pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) di kalangan petani mampu memberikan impak kepada industri pertanian di daerah Kota Belud pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yusof Apdal berkata, melalui inovatif berkenaan beliau berpendapat ia bukan sahaja dapat membina satu pembaharuan asas tani pada kehidupan seharian malah yang paling penting mempelbagaikan janaan pendapatan.

“Peserta juga berpotensi untuk menjana pendapatan bersih sebanyak RM5,200 sebulan berdasarkan penjualan 2,000 kg baja vermikompos…” Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yusof Apdal

Menerusi Program Kembara Komuniti: “Kecilkan Jejak, Besarkan Impak” yang bertemakan ‘Ada Sisa, Jadi Bisnes Bah!’ di Kampung Melangkap Tiong, semalam, penguasaan teknologi di kalangan petani akan membina dasar ekonomi berasaskan pertanian di daerah itu tidak lama lagi.

“Program sebegini menggalakkan penggunaan STI di kalangan petani dan membuktikan STI mudah diterapkan dalam kehidupan seharian.

“Dengan menguasai teknik vermikompos menggunakan cacing tanah African nightcrawler, peserta mampu menghasilkan tanaman seperti durian, avocado, sayuran dan kacang panjang berkualiti tinggi yang lebih berdaya tahan terhadap penyakit dan serangan serangga.

“Peserta juga berpotensi untuk menjana pendapatan bersih sebanyak RM5,200 sebulan berdasarkan penjualan 2,000 kg baja vermikompos.

“Usaha mereka akan meningkatkan taraf hidup di sekitar kawasan Kampung Melangkap Kapa dan Kampung Tanginambur serta memastikan bekalan makanan yang selamat dan terjamin,” katanya dalam ucapan perasmian majlis tersebut.

Merupakan inisiatif Kementerian Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) ianya dijangka memberikan impak positif bagi penduduk kampung berkenaan dalam usaha membangunkan Kota Belud sebagai pusat pengeluaran tanaman lestari di Sabah melalui aplikasi teknologi vermikompos.

Program Kembara Komuniti itu dijalankan dengan kerjasama Bioxpert Sdn Bhd (Bioxpert), pengeluar produk baja vermikompos organik selaku penyedia teknologi, serta Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk memudahkan pertukaran ilmu dan pemindahan teknologi antara pelajar, pakar industri dan Bioeconomy Corporation selaku pemacu industri.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|