PUTATAN: Hormat menghormati, toleransi atas perbezaan budaya dan tradisi merupakan intipati utama perpaduan di kalangan rakyat Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, khazanah berharga yang dimiliki rakyat Sabah itu juga perlu diteruskan oleh generasi akan datang.
Menurut beliau, sebagai contoh sambutan Pesta Menuai atau Kaamatan yang bukan sahaja disambut oleh suku KadazanDusunMurut (KDM) dan rumpunnya harus dipelihara kerana ia terbukti ikatan kekeluargaan yang erat merentasi fahaman intelek, budaya dan tradisi rakyat di negeri ini.
“Oleh itu, bersesuaian dengan tema sambutan kerajaan pada tahun ini, Kaamatan Untuk Semua, ianya bukan sahaja perlu disematkan untuk suku KDMR, bahkan rakyat Sabah dan seluruh warga Malaysia secara amnya.
“Dengan adanya toleransi, hormat menghormati seperti mana diterapkan masyarakat kita setiap sambutan Pesta Kaamatan, saya kira ianya menjadi simbolik pengukuhan perpaduan dan memberi isyarat bahawasanya perpaduan ini tidak mudah tergugat oleh mana-mana anasir luar yang cuba memecahkan masyarakat kita di Sabah, ” katanya.
Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu berkata demikian ketika berucap bersempena perasmian sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Potuki, dekat sini, hari ini.

SHAHELMEY (tengah) bersama masyarakat KDMR Kg Potuki dalam perasmian sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Kampung Potuki, Putatan.
Hadir sama, Setiausaha Politik Kementerian Kerja Raya Sabah; Mohd Sufian Matin, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Tanjung Keramat; Mahadzir Abdul Majid, PPM DUN Petagas; Latip Jiar dan Pengerusi Penganjur; Sylvarius Kimon.
Terdahulu, dalam ucapan Shahelmey pada majlis berkenaan, beliau turut mengajak masyarakat KDMR di Potuki supaya terus memberi pendedahan terhadap golongan muda dalam mengekalkan keharmonian tradisi setiap berlangsungnya sambutan Pesta Kaamatan.
“Penting pendedahan dan pembabitan anak muda terhadap sambutan Pesta Kaamatan peringkat kampung di sini kerana selain dapat memelihara tradisi, ia secara tidak langsung dapat meneruskan legasi nenek moyang masyarakat di sini dengan kepelbagaian acara atau tradisi Pesta Menuai.
“Meskipun berdepan cabaran peredaran zaman atau arus teknologi, ia bukanlah menjadi penghalang lebih-lebih lagi dengan keadaan semasa melibatkan perubahan iklim dan sebagainya sehingga ada beberapa kawasan tidak lagi bersesuaian kepada penempatan tuaian padi pada setiap bulan Mei.
“Oleh itu, masyarakat di Kampung Potuki ini wajar menerima pujian kerana sentiasa bersemangat menganjurkan festival seumpama ini dan saya juga berharap, penyertaan mereka menerusi acara-acara berkaitan bersempena Kaamatan dapat diperluas lagi di masa hadapan,” katanya.
Deasoka