Baloi Keningau tampil Warisan Budaya Unik di Pesta Kaamatan 2025

Baloi Keningau tampil Warisan Budaya Unik di Pesta Kaamatan 2025

KOTA KINABALU: “Baloi Keningau”- rumah tradisional yang mewakili identiti dan warisan masyarakat Keningau, bersedia menerima kunjungan orang ramai sempena Pesta Kaamatan 2025 yang akan berlangsung di Hongkod Koisaan, Penampang pada 30 dan 31 Mei ini.


Terletak di dalam Koisaan Cultural Village (KCV), Baloi Keningau menjadi antara tarikan utama sambutan tahun ini yang bertemakan “Kaamatan Untuk Semua”.


Tema ini mencerminkan semangat keterangkuman dan keharmonian, serta menekankan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.


Pengerusi Badan Penyelaras KDCA Keningau, Rafie Robert, mengajak orang ramai untuk mengunjungi Baloi Keningau dan menikmati keunikan budaya yang dipersembahkan.


“Kami mengalu-alukan kehadiran semua untuk mengunjungi Baloi Keningau di Koisaan Cultural Village. Ia bukan sekadar rumah tradisi, tetapi lambang warisan dan identiti masyarakat kami. Kaamatan adalah pesta untuk semua, dan kami amat berbesar hati untuk berkongsi budaya ini bersama seluruh rakyat Malaysia,” katanya.


Menurutnya, pada 30 Mei, pelbagai aktiviti kebudayaan dijadualkan berlangsung di KCV, termasuk demonstrasi masakan tradisional, pameran kraftangan, serta persembahan tarian dan muzik rakyat.


Katanya, Baloi Keningau khususnya akan menampilkan persembahan Tarian Etnik Murut Naabai, Tarian Etnik Dusun Lobu, serta persembahan alat muzik tradisional seperti Tongunggu (muzik buluh) dan Sompoton.


Beliau berkata, Kemuncak sambutan akan berlangsung pada 31 Mei menerusi Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Kebangsaan, yang menyaksikan penyertaan wakil dari seluruh Sabah dan negeri-negeri lain di Malaysia.


Rafie berkata, pertandingan ini bukan sahaja menyerlahkan keanggunan dan keperibadian wanita Kadazandusun, malah mengetengahkan pengetahuan budaya dan semangat perpaduan komuniti.


“Pesta Kaamatan merupakan lambang kesyukuran atas hasil tuaian serta simbol penyatuan masyarakat pelbagai kaum.


“KDCA Keningau menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta memeriahkan sambutan dan meraikan warisan budaya yang menjadi kebanggaan bersama”, katanya.


Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|