Kebakaran hutan Bukit Sim-Sim, sekolah ambil langkah berjaga-jaga

Kebakaran hutan Bukit Sim-Sim, sekolah ambil langkah berjaga-jaga

SANDAKAN: Operasi dan aktiviti sekolah yang tidak jauh daripada kebakaran hutan di Bukit Sim-Sim, Sandakan berjalan seperti biasa kerana kebakaran yang dilaporkan berlaku sejak Sabtu lalu adalah terkawal.

Namun demikian, menurut Yang DiPertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tanjung Papat 2, Saddam Hussin Alam pihaknya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan sentiasa berhubung dengan pihak sekolah bagi memastikan keselamatan semua murid terjamin.

“Keadaan di SK Sri Tanjung Papat 2 ni dalam keadaan yang terkawal dan selamat .. dan saya juga bagi pihak PIBG selalu berhubung kepada pihak sekolah .. di sekolah ni tidak ada juga macam ada yang boleh membimbangkan laa cuma kita harus berjaga-jaga kepada murid-murid yang bersekolah sesi petang dan sesi pagi dalam masa yang sama juga operasi sekolah seperti biasa,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berharap ibu bapa murid tidak perlu risau kerana pihak sekolah sentiasa memantau situasi kebakaran hutan ekoran cuaca panas sekarang ini.

Saddam turut memuji kecekapan anggota bomba yang telah bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sehingga berjaya mengawal kebakaran daripada merebak.

Serentak itu, dia menggesa pihak berwajib supaya dapat mencari tapak baharu untuk pembinaan SK Sri Tanjung Papat 2 memandangkan sekolah berkenaan didakwa sering terdedah dengan bencana alam.

“Harapan saya di sini kepada pemimpin masyarakat agar dapat mencari tempat baru, tapak baru untuk sekolah SK Sri Tanjung Papat 2 supaya kita mengelak daripada bencana alam yang telah kita ketahui sebelum ini macam kebakaran di Bukit Sim-Sim, tanah runtuh atau pun banjir demi keselamatan murid-murid dan juga guru-guru yang bertugas di sekolah ini,” jelas Saddam lagi.

“Kebakaran hutan tu kan nampak, nampak malam terang bila sudah siang tu asap, asap jadi macam risau juga laa berapa hari sudah kan dalam kebakaran tu jadi memang risau, memang membimbangkan juga .. alhamdulillah pihak polis, bomba berkawal bila malam dorang berkawal sebab risau keadaan yang berlaku sebab ini pihak kawasan sekolah kan dia melibatkan sekolah juga,” katanya.

Tinjauan mendapati pada petang Selasa kebakaran hutan di Bukit Sim-Sim semakin terkawal dan pihak bomba sentiasa bersiap sedia setiap masa bagi mengawal kebakaran hutan itu.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|