SANDAKAN: Penglibatan beberapa kaum etnik dalam Karnival Kaamatan sempena Pesta Kaamatan peringkat Daerah Sandakan 2024 baru-baru ini menjadi landasan terbaik mengukuhkan perpaduan dan bertukar-tukar fikiran antara satu sama lain.
Karnival yang telah diadakan selama tiga hari berturut-turut di Taman Tun Razak, Sandakan secara tidak langsung memberikan peluang untuk berinteraksi sekali gus dapat mengenali kepelbagaian budaya dan tradisi kaum-kaum lain.
Presiden Persatuan Etnik Lobu Sabah iaitu Saimon Dundoi berkata mereka amat menanti-nantikan karnival ini yang bukan sahaja dapat bertukar fikiran tetapi juga boleh berkongsi idea dalam usaha memperkasakan lagi keunikan budaya di Sabah.
“Sememangnya ini laa karnival yang kita tunggu dan kita merasa bangga kerana Presiden Majlis Perbandaran dapat mengadakan program ini untuk semua etnik terutama sekali untuk etnik Lobu, biar pun etnik kami ada yang daripada Keningau dan ada daripada Ranau begitu jauh tapi dorang datang di sini kerana semata-mata untuk mempromosi, satu kerana pakaian budaya kami etnik Lobu kemudian kami sangat-sangat berbangga kerana peluang pada kali ini kami dijemput bersama-sama dengan etnik lain,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap karnival sebegini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang kerana banyak aktiviti menarik termasuk pameran etnik sehinggalah kepada makanan tradisional.
Malah, katanya lagi pengunjung yang singgah ke gerai etnik Lobu berpeluang menyaksikan sendiri pakaian tradisi mereka yang ditenun di situ.
“Pentingnya bagi saya secara peribadi, pentingnya program ini ialah kita dapat bertukar-tukar fikiran di antara satu etnik dengan etnik yang lain, kemudian bagi kami .. kami dapat promosi kami punya barangan kebudayaan seperti pakaian ini bayangkis yang memang susah untuk didapatkan di mana-mana tempat begitu juga dengan lain-lain bahan pakaian kerana pakaian ini bukan ditenun menggunakan mesin tetapi ditenun menggunakan manual, secara manual,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Kebudayaan Persatuan Suku Kaum Dumpas Sabah, Nasrah Titing pula menyatakan bahawa penganjuran Karnival Kaamatan memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat keunikan budaya yang terus diwarisi sehingga kini.
“Apa yang lebih penting ialah untuk memperkenalkan budaya etnik Dumpas supaya lebih dikenali sebab selama ini pun kita sedang berusaha untuk memperkenalkan kebudayaan dan adat-istiadat Dumpas sebagai salah satu etnik orang asal Sabah … pada kali ini kita hanya menampilkan tarian yang lebih dikenali sebagai tarian Suan untuk dikenali sebab tarian Suan ni adalah salah satu tarian untuk menyambut tetamu dan diadakan pada musim-musim perayaan, kemudian kita juga memperkenalkan masakan etnik suku kaum Dumpas yang lebih dikenali sebagai payau masak tebilang,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pengunjung merupakan pelajar Tingkatan 5, Eva Natalley Nasirus juga menyatakan rasa teruja dapat berkunjung ke karnival berkenaan.
Eva berkata penganjuran karnival sangat penting terutama kepada generasi muda bukan saja dapat mengenali keunikan masyarakat pelbagai kaum di Sabah tetapi juga membantu usaha kerajaan mempertahankan budaya diwarisi dari nenek-moyang.
“Bagi saya manfaat bagi karnival-karnival ini sungguh banyak terutamanya dari cara kita mengenal adat orang lain adat suku bangsa yang lain seperti bajau, sungai yang seperti dalam karnival-karnival ni laa dia dapat merapatkan lagi silaturrahim sesama kita yang lain-lain etnik, banyak etnik kan .. saya sangat meminati semua baju-baju etnik-etnik yang lain sebab semuanya cantik dipakai oleh dorang punya suku kaum,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Papat, Datuk Frankie Phoon merasmikan Karnival Kaamatan yang disertai etnik Kadazandusun, etnik Dusun Labuk, etnik Bajau Sama, etnik Suluk, etnik Sungai Lobu, etnik Dumpas, etnik Filipino, etnik Bugis, etnik Bajau Tabawan dan etnik Toraja.
Deasoka