Isu 40 %, jangan terpengaruh anasir negatif: Bekas ADUN

Isu 40 %, jangan terpengaruh anasir negatif: Bekas ADUN

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk James Ligunjang berharap rakyat tidak terpengaruh akan anasir negatif yang disensasikan oleh segelintir pihak terutamanya pembangkang berhubung isu tuntutan 40 peratus di mahkamah baru-baru ini.

Jelasnya, kenyataan rasmi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan tegas menyatakan pendirian terhadap tuntutan itu dan menyatakan sokongan terhadap usaha Persatuan Guaman Sabah (SLS) untuk mengkaji semula kehakiman di mahkamah perlu di sokong ramai pihak.

Beliau berkata, tuduhan bahawa Kerajaan Negeri mengubah pendiriannya apabila peguam yang dilantik oleh Peguam Negeri secara tidak diduga membantah tindakan SLS di Mahkamah Rayuan pada 16 Mei lalu, yang bertentangan dengan komitmen terdahulu yang dibuat oleh Kerajaan Negeri, adalah tidak berasas dan tidak adil.

“Kerajaan Negeri tetap teguh dalam memperjuangkan hak-hak Sabah dan rakyatnya, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri dalam kenyataan medianya pada 17 Mei lalu.

“Adalah penting bahawa kita mengelakkan isu ini dipolitikkan dan sebaliknya bersatu dalam menyokong Persatuan Guaman Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah.

“Mari kita tunjukkan kepada Kerajaan Persekutuan bahawa rakyat Sabah bersatu dalam memperjuangkan hak-hak kita seperti yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963, ” katanya.

Terdahulu, ahli politik veteran tersebut dalam pada masa yang sama berkongsi pengalamannya dengan beranggapan isu tersebut perlu ditangani dengan efisyen dan meletakkan kepercayaan terhadap kerajaan untuk menyelesaikannya secara tuntas.

“Bersatu, kita kuat. Berpecah, kita berisiko gagal,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|