Hayati pengorbanan generasi dahulu: Shahelmey

Hayati pengorbanan generasi dahulu: Shahelmey

PUTATAN: Semua pihak terutamanya generasi perwaris sekarang perlu lebih menghayati keharmonian dan perpaduan yang dikecapi di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, begitu juga dengan keharmonian dan perpaduan kaum yang dikecapi pada hari ini, ianya merupakan hasil pengorbanan generasi terdahulu.

Berucap sempena sambutan Pesta Kaamatan peringkat Daerah Putatan, beliau berkata, Kaamatan bukan sekadar sambutan tahunan masyarakat kaum KadazanDusun semata-mata, bahkan ianya merupakan satu bentuk penghargaan terhadap kelestarian warisan yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu.  

“Setiap hasil tuaian atau apa juga bentuk usaha pada zaman ini memerlukan pengorbanan.

“Ianya sama seperti keamanan dan kesejahteraan yang memerlukan pengorbanan daripada orang yang terdahulu dan kita pada masa kini.

“Pesta Kaamatan tidak sekadar merupakan acara tahunan yang merayakan kepelbagaian budaya dan tradisi kaum KadazanDusun semata-mata, tetapi ia juga merupakan satu bentuk penghargaan terhadap kelestarian warisan nenek moyang kita, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sewaktu merasmikan penutupan sambutan pesta ka Kaamatan 2024 peringkat Daerah Putatan, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan yang sama, Shahelmey turut mengingatkan rakyat agar menjadikan perpaduan, kesejahteraan, dan keharmonian sebagai fokus utama dalam membangun masyarakat yang berdaya maju.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|