PDRM komited perluas penggunaan VSP

PDRM komited perluas penggunaan VSP

TAWAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited memperluaskan penggunaan Volunteer Smartphone Patrol (VSP) di seluruh negara memandangkan masih kurang popular digunakan masyarakat ketika ini.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, aplikasi ini adalah kemudahan masyarakat mencegah jenayah di sekitar mereka.

Namun, katanya, masyarakat di seluruh negara masih tidak mengambil manfaat daripada aplikasi ini walaupun ia sudah lama diperkenalkan.

“Aplikasi VSP versi 2.0 sudah ditambah baik kerana masyarakat boleh menyalurkan aduan dan maklumat yang dilengkapi dengan elemen multimedia seperti gambar, video serta koordinat GPS lokasi kejadian.

“Selain itu, kita turut wujudkan butang panik iaitu tindakan segera akan diambil oleh anggota polis yang bertugas di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Confrencing Point Pondok Polis Fajar, di sini hari ini.Menurutnya, PDRM akan bertindak secepat mungkin dengan anggaran masa paling lewat 12 minit selepas menerima laporan atau aduan daripada VSP.

Katanya, PDRM mempunyai kekuatan anggota di lapangan termasuklah Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) untuk bertindak segera.

“Kita mempunyai lebih 3,000 MPV dan 1,800 URB yang bergerak setiap masa untuk membantu menangani masalah jenayah di seluruh negara.

“Justeru, menerusi platform VSP, kita harapkan masyarakat dapat bersama-sama dengan PDRM membanteras jenayah di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Hassan berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada jabatan lain, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan program bersama dari semasa ke semasa.

“Kita sedar PDRM agak kekurangan dana untuk melaksanakan program-program berskala besar dan sangat memerlukan kerjasama strategik daripada pelbagai pihak.

“Namun, PDRM terus komited dan berterusan menyantuni masyarakat supaya pencegahan jenayah di negara ini lebih mudah dilaksanakan,” katanya.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung Datuk Hamild Awang dan ADUN Kukusan Rina Jainal.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|