Covid-19: Sabah masih catat kes 4 angka

Covid-19: Sabah masih catat kes 4 angka

Kota Kinabalau: Sabah mencatat kes baharu Covid-19 empat angka kali ketiga berturut-turut dengan sebanyak 1,002 lagi kes dilaporkan pada hari ini.

Kes empat angka pertama bagi tahun ini dicatat Jumaat lalu iaitu sebanyak 1,066 kes, diikuti yan kedua semalam dengan 1,035 kes.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kontak rapat terus menjadi penyumbang paling banyak iaitu 591 kes atau bersamaan 59 peratus daripada jumlah kes harian.

Katanya, ia diikuti 184 kes yang dikesan menerusi saringan bergejala (18.4 peratus), 133 kes saringan kluster (13.3 peratus) dan 55 kes menerusi saringan bersasar (5.5 peratus).

“Hari ini juga terdapat dua kluster baharu, masing-masing dilaporkan di Telupid dan Keningau. Di Telupid, Kluster Tembidong Bidong iaitu berkaitan komuniti merekodkan jumlah kumulatif sebanyak 88 kes termasuk 35 kes baharu hari ini.

“Di Keningau, kluster baharu hari ini berkaitan tempat kerja iaitu Kluster Jalan Patikang Ulu yang setakat ini mencatat 17 kes termasuk tiga kes baharu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagi kes mengikut daerah, katanya Kota Kinabalu dan Tawau mencatat kes tertinggi hari ini, iaitu masing-masing 171 kes, diikuti Penampang (100), Sipitang (90), Sandakan (75), Tuaran (73), Keningau (47), Telupid (40), Ranau (34), Papar (30), Beaufort (28) dan Kinabatangan (22).

Katanya, hari ini juga menyaksikan semua 27 daerah mencatat kes baharu Covid-19 dengan yang terendah satu kes iaitu di Nabawan dan Pitas.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|