Aktiviti ziarah sempena Aidiladha cetus Kluster Tembidong-Bidong

Aktiviti ziarah sempena Aidiladha cetus Kluster Tembidong-Bidong

Kota Kinabalu: Aktiviti kunjung-mengunjung dalam kalangan jiran tetangga sempena sambutan Aidiladha bulan lalu mencetuskan Kluster Tembidong-Bidong di Telupid dan Beluran, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kluster itu dikesan selepas seorang wanita disahkan positif ketika saringan bergejala di Hospital Duchess Of Kent (HDOK), Sandakan pada 19 Julai lalu.

Kes indeks berumur 55 tahun itu katanya sebelum itu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Nangoh, Beluran pada 17 Julai selepas mengalami gejala batuk dan sesak nafas sebelum dirujuk ke HDOK.

“Suami kes indeks turut dikesan positif pada hari yang sama, diikuti 18 lagi kes hasil saringan kontak rapat pada 21 Julai lalu.

“Setakat ini, sebanyak 88 kes positif dikesan daripada 292 individu yang disaring, merangkumi 78 kes termasuk 31 kes baharu di Telupid dan 10 kes termasuk empat kes baharu di Beluran,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Satu lagi kluster dilaporkan di Keningau membabitkan jangkitan di tempat kerja dipercayai berpunca daripada pergaulan di antara penghuni rumah sewa yang padat di Jalan Patikang Ulu.

Masidi berkata, Kluster Jalan Patikang Ulu itu, dikesan selepas seorang kerani lelaki berumur 19 tahun di sebuah syarikat bengkel dan servis jentera berat dikesan positif COVID-19 ketika menjalani ujian bergejala pada 29 Julai lalu.

“Pada hari yang sama, satu lagi kes positif dikesan iaitu kontak rapat kepada kes indeks. Saringan kontak rapat di lapangan yang dilakukan Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau dan klinik swasta kemudiannya mengesan 12 lagi kes positif pada 30 Julai,” katanya.

Sehingga kini, kluster itu merekodkan jumlah kumulatif sebanyak 17 kes termasuk tiga kes baharu di Mukim Patikang dan Lingkudau, Keningau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|