Hargai komitmen sekolah bantu pelajar kehilangan ibu bapa akibat Covid-19

Hargai komitmen sekolah bantu pelajar kehilangan ibu bapa akibat Covid-19

Labuan: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan menghargai komitmen sekolah membantu murid dan pelajar yang kehilangan ibu bapa akibat jangkitan Covid-19.

Pengarahnya, Yusop Mohamad, berkata ia menunjukkan keprihatinan sekolah terhadap nasib murid dan pelajar yang bersedih akibat kehilangan orang tersayang.

Pendekatan itu, katanya dapat membantu memulihkan semangat murid dan pelajar supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Kes aktif Covid-19 meningkat dengan pantas sekali sejak awal Mei hingga Jun dan secara tidak langsung menyumbang kepada kematian yang agak tinggi di Labuan.

“Masyarakat di sekeliling kita, termasuk anak-anak didik kita juga terbabit secara langsung menghadapi masalah dalam kehidupan dan keluarga sepanjang pandemik ini.

“Tidak ketinggalan juga, ramai kalangan murid dan pelajar kita kehilangan ibu dan bapa tersayang secara tidak diduga disebabkan jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Ziarah Cakna Maya Perdana Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara, di sini, baru-baru ini.

Program secara maya menggunakan pelantar Google Meet itu bertujuan mendekati dan menyatakan simpati kepada pelajar yang kehilangan ahli keluarga khususnya ibu bapa akibat jangkitan Covid-19 di Labuan.

Seramai empat pelajar SMK Mutiara, masing-masing tiga pelajar tingkatan lima dan seorang pelajar tingkatan satu kehilangan ibu atau bapa disebabkan jangkitan Covid-19.

Yang turut menyertai program itu ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Abdul Rahman Ahmad; Pengetua SMK Mutiara, Yahya Ahmad Puteh dan pemangku Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Mutiara, Norhani Yusof.

Yusop berkata inisiatif ‘bantu dan sayang’ yang dilakukan pengurusan sekolah sekurang-kurangnya dapat meringankan masalah dihadapi pelajar.

“Semangat yang ditunjukkan semua pihak dalam menzahirkan simpati kepada pelajar dalam kesedihan membuktikan bahawa kita semua peka dan mengambil berat terhadap masalah dan isu keperluan warga dan anak-anak didik.

Sementara itu, Yahya berkata usaha bersama guru, PIBG dan komuniti membantu pelajar yang kehilangan ibu bapa dapat meringkankan sedikit beban yang ditanggung selain menyokong emosi mereka bahawa masih ada orang yang mengambil berat.

“Kita sentiasa membudayakan amalan ‘bantu dan sayang’ dalam mendekati pelajar kerana mereka memang perlu dibantu dalam apa keadaan sekalipun lebih-lebih lagi mereka yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|