Degil betul!

Degil betul!

Sipitang: Seorang lelaki dikenakan kompaun selepas dikesan ingkar terhadap arahan kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Guruh Guruh, di sini, semalam.

Lelaki terbabit diarahkan menjalani arahan kuarantin selepas disahkan positif Covid-19, hasil ujian calitan yang dijalankan terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, lelaki terbabit dikenakan kompaun selepas dikesan melanggar arahan dengan keluar dari kawasan PKPD yang dikuatkuasakan.

Katanya, tindakan itu terpaksa diambil dalam usaha mengurangkan potensi penyebaran pandemik Covid-19 di daerah ini.

“Ini kerana kedegilan individu yang dikuarantin itu boleh menyebabkan penularan wabak dengan cepat di daerah Sipitang.

“Pihak polis tiada pilihan selain mengenakan kompaun kepada mereka yang ingkar terhadap arahan dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Champin berkata, kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Sehubungan itu, Champin berkata, polis merayu dan menasihatkan kepada semua warga Sipitang supaya lebih bertanggungjawab kepada keselamatan kesihatan masyarakat.

Katanya, mereka yang diarahkan menjalani kuarantin perlu menuruti arahan itu bagi mengelakkan penyebaran wabak penyakit berjangkit.

“Perbuatan dan tindakan mereka mereka ini boleh menyebabkan sesiapa saja kehilangan ahli keluarga buat selama-lamanya terutama golongan yang berisiko,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|