Pembekal dikecam tipu berat kampit beras

Pembekal dikecam tipu berat kampit beras

Kota Kinabalu: Persatuan Pengguna Bijak Sabah mengecam perbuatan segelintir pembekal beras di negara ini yang menipu pengguna dengan meletakkan berat bungkusan berbeza dengan berat sebenar kandungan dalam kampit.

Presidennya, David Chan, berkata pihaknya ada menerima aduan daripada pengguna berhubung perkara itu dan meminta pihak berkuasa, khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan siasatan.

Katanya, siasatan menyeluruh perlu dilakukan termasuk yang membabitkan barangan keperluan lain bagi memastikan peniaga dan pembekal mematuhi berat isi kandungan barangan yang tertera pada bungkusan.

Jelasnya, perbuatan menipu berat isi kandungan bungkusan menggambarkan betapa rendah integriti segelintir peniaga, lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik Covid-19 sekarang yang mana ramai pengguna terkesan dan berdepan kesukaran mendapatkan makanan.

“Tindakan yang tidak beretika itu bukan sahaja menggambarkan betapa rendahnya integriti peniaga yang tamak mengejar keuntungan semata-mata, malah menunjukkan mereka lebih mementingkan diri terutama pada saat getir seperti sekarang, ketika rakyat berdepan tekanan hidup disebabkan pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu kita menggesa pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar segera bertindak dan membuat pemeriksaan ke atas premis-premis jualan serta gudang pembekal.

“Kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan mengaut keuntungan ketika rakyat berdepan tekanan hidup akibat pandemik Covid-19 sekarang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, pembekal atau peniaga tidak sepatutnya cuba menipu sukatan pada bungkusan barangan sebelum dijual di kedai.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah kilang di Jitra, Kedah diserbu KPDNHEP kerana didakwa menipu berat kandungan beras dalam kampit lima kilogram.

Kuantiti beras dalam kampit dikeluarkan pembekal terbabit dikesan tidak sampai lima kilogram iaitu kurang 40 gram.

Berikutan serbuan itu, penguat kuasa kemudian merampas sebanyak 100 kampit beras yang dianggarkan bernilai RM1,200.

Mengulas lanjut, David berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati dan memeriksa setiap barangan yang dibeli supaya tidak mudah menjadi mangsa penipuan.

Beliau turut menasihatkan pengguna di negeri ini agar segera membuat laporan kepada pihak berkuasa atau Persatuan Pengguna Bijak jika mempunyai maklumat mengenai kejadian seperti itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|