‘Melayang’ RM6,050 ditipu konon ejen pelancongan

‘Melayang’ RM6,050 ditipu konon ejen pelancongan

Kota Kinabalu: Seorang wanita kerugian lebih RM6,000 selepas terpedaya dengan ejen pelancongan yang kononnya membantu mendapatkan pekerjaan di luar negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, Superintendan G Moses Govindarajoo berkata, mangsa berusia 50 tahun mendakwa berurusan dengan seorang lelaki ysng menggunakan nama orang tempatan.

Katanya, mangsa kemudiannya membuat pemindahan pertama sebanyak RM2,800 pada 8 Julai sebelum transaksi kedua sebanyak RM3,250 pada 26 Julai lalu.

“Mangsa membuat transaksi pindahan wang ke dua akaun yang berbeza berjumlah keseluruhan RM6,050.

“Ia dikatakan untuk tujuan menguruskan visa dan tiket penerbangan ke Australia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

G Moses berkata, mangsa hanya menyedari tertipu selepas membuat semakan dengan pihak syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan mendapati tiket yang dihantar oleh suspek adalah palsu.

Katanya, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya.

Sementara itu, G Moses menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika berurusan dengan orang tidak dikenali secara atas talian.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|