Kota Kinabalu: Semua 78 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dikehendaki mengemukakan keputusan ujian calitan Covid-19 tiga hari sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan bermula 24 Ogos ini.
Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, berkata turut diwajibkan melakukan ujian calitan ialah semua petugas DUN yang bertugas sepanjang tiga hari persidangan berkenaan.
Katanya, pihaknya juga menetapkan hanya individu lengkap dua dos vaksin Covid-19 dibenarkan hadir sebagai prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan Covid-19.
“Semua Ahli Yang Berhormat dan petugas yang terbabit dalam persidangan kali ini wajib mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19 kepada pihak kami (Pejabat DUN) tiga hari sebelum bersidang.
“Di samping itu, kita turut mewajibkan hanya mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 boleh datang,” katanya kepada pemberita selepas mengikuti Majlis Perasmian Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Seluruh Malaysia secara maya, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Ahmad Abdul Rahman dan Datuk George Anthony Ginibun serta Setiausaha DUN Sabah yang baharu, Rafidah Maqbool Rahman.
Kadzim sebelum ini mengumumkan persidangan DUN Sabah yang kali terakhir diadakan pada Disember tahun lalu akan berlangsung tiga hari bermula dengan sesi pembukaan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 24 Ogos.
Ketika ini DUN Sabah dianggotai 78 ADUN termasuk enam ADUN Dilantik, manakala satu kerusi kosong iaitu DUN Bugaya berikutan kematian penyandangnya, Manis Muka Mohd Dara pada November tahun lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Seluruh Malaysia, Kadzim berkata persidangan tahunan itu bertujuan untuk memperbaiki inisiatif, prosedur di Parlimen dan DUN.
“Persidangan ini disertai 16 Speaker DUN, Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Ia adalah program tahunan namun disebabkan pandemik Covid-19, ia tidak dapat diadakan pada tahun lalu dan dianjakkan ke tahun ini.
“Tujuan persidangan ini adalah untuk membolehkan Speaker Parlimen dan DUN bertukar pendapat serta pandangan bagaimana untuk memperbaiki inisiatif dan prosedur di Parlimen serta DUN,” katanya.
Tumpuan kali ini katanya ialah membincangkan usaha mewujudkan prosedur yang seragam khususnya berkaitan pelaksanaan persidangan sepanjang tempoh pandemik ini.
Beliau berkata, bagi DUN Sabah, pihaknya turut menyuarakan isu capaian jalur lebar kurang memuaskan di negeri ini yang dilihat antara halangan untuk melaksanakan persidangan DUN secara hibrid.
-Deasoka