Bau busuk bongkar penemuan mayat lelaki

Bau busuk bongkar penemuan mayat lelaki

Tuaran: Bau busuk di belakang bangunan Pejabat Daerah Tamparuli, di sini, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki berusia 51 tahun.

Mayat yang lengkap berpakaian itu ditemui orang awam kira-kira 5 petang semalam, dalam keadaan terbaring dan sudah mula mereput.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 5.25 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa dikenali sebagai Richard Amplos yang beralamat terakhir do Kampung Bontoi, Tamparuli, di sini.

“Menurut ibu mangsa, seorang lelaki yang dikenali sebagai Amat datang bertemu dengannya dan memaklumkan penemuan mayat anaknya tidak jauh dari rumah mereka.

“Ibu mangsa terus pergi ke lokasi sebelum menemui anaknya sudah meninggal dunia di kawasan semak sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, ibu mangsa mendakwa kali terakhir melihat anaknya, kira-kira jam 8 pagi, Jumaat lalu, ketika mangsa dikatakan keluar rumah untuk ke pekan Tamparuli.

Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Tuaran untuk proses bedah siasat selepas ujian saringan Covid-19 dijalankan.

“Siasatan masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|