Qhazanah Sabah dapat hak eksklusif bina infrastruktur telekomunikasi

Qhazanah Sabah dapat hak eksklusif bina infrastruktur telekomunikasi

Kota Kinabalu: Syarikat pelaburan strategik milik kerajaan negeri, Qhazanah Sabah diberi hak eksklusif untuk menerajui pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan perkara itu selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di antara kerajaan negeri dan syarikat berkenaan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejajar dengan perkembangan itu, kerajaan negeri yakin dapat melengkapkan kemudahan telekomunikasi yang diperlukan bagi mengatasi isu kekangan liputan internet terutama di kawasan luar bandar.

“Kerajaan negeri meletakkan keyakinan dapat mencapai sasaran untuk mengatasi masalah liputan internet yang masih menjadi halangan perhubungan telekomunikasi terutama di luar bandar Sabah,” katanya.

Perjanjian berkenaan ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong yang mewakili kerajaan negeri dan Pengerusi Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTTSB), Ghazalie Ansing mewakili Qhazanah Sabah.

Turut menyaksikan majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi Qhazanah Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Yang turut hadir ialah Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Rusdin Riman; Pengarah Eksekutif Qhazanah Sabah, Mohd Shukor Abdul Mumin; Ketua Pegawai Eksekutif Qhazanah Sabah, Ahmad Rizal Dahli dan Ketua Pegawai Eksekutif CTTSB, Mikail Sungiau Abdullah.

Melalui CTTSB yang juga anak syarikat Qhazanah Sabah, kerajaan negeri akan menaik taraf lebih 2,000 menara telekomunikasi dan membina sebanyak 400 lagi menara baharu di bawah program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

CTTSB adalah antara pemilik dan pengendali menara telekomunikasi bebas terbesar di Malaysia dengan ketika ini memiliki, mengendali dan menguruskan sebanyak 257 menara telekomunikasi di Sabah.

Ia berikutan pelantikan syarikat itu untuk melaksanakan Projek TIME2 di Sabah sejak 2005.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|