Ebi ditahan di Hospital Tuaran akibat Covid

Ebi ditahan di Hospital Tuaran akibat Covid

Kota Kinabalu: Covid-19 bukan mainan, itu antara kata-kata dititipkan penyanyi yang juga pelakon Ebi Kornelis ketika berkongsi yang dirinya kini turut diuji dengan jangkitan virus berkenaan.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Ebi, 38, yang juga naib juara program realiti Akademi Fantasia (AF) musim kelima memohon doa daripada sahabat dan kenalan agar dia dan keluarganya segera sembuh.

“Ya Allah Ya Tuhan ku, tuhan yang maha besar memiliki segala isi bumi dan langit…Saya dan keluarga sekarang sedang diuji dengan Covid-19.

“Mohon doakan kesembuhan saya dan keluarga, bapa dan mama. Ampunkanlah dosa-dosa dan kesalahanku sama kamu semua sama ada zahir atau batin.

“Aku terima ujian Allah…..Tiada tuhan selain Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah…#covid19 #covidbukanmainan,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook beliau.

Difahamkan, Ebi kini ditempatkan di Hospital Tuaran bagi menjalani rawatan selepas mengalami sesak nafas ketika menjalani kuarantin di PKRC Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sabah, Jalan Sulaman, Tuaran, kelmarin.

Dia dikatakan mengalami tidak sedap badan tiga hari selepas menemani ibu bapanya mendapatkan dos pertama vaksin pada 27 Julai lalu sebelum dikesan positif Covid-19 bersama bapanya sehari selepas itu.

Bapanya, Yaimal Muhammad, 74, kini ditahan di Hospital Queen Elizabeth untuk menjalani rawatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|