Covid-19: Kes di Sabah masih tinggi walaupun ada penurunan

Covid-19: Kes di Sabah masih tinggi walaupun ada penurunan

Kota Kinabalu: Kes harian Covid-19 di Sabah kekal tinggi dengan sebanyak 1,247 kes dilaporkan hari ini, berbanding 1,379 kes, semalam.

Meskipun ada sedikit penurunan, jumlah kes yang masih mencatat empat angka menggambarkan situasi Covid-19 di kekal pada paras membimbangkan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata seperti biasa, saringan kontak rapat kekal penyumbang tertinggi iaitu sebanyak 770 kes atau 62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini.

Katanya, kes melalui saringan bergejala juga masih tinggi dengan sebanyak 295 kes atau 24 peratus daripada jumlah kes, diikuti 87 kes (tujuh peratus) melalui saringan kluster sedia ada.

“Seramai 842 orang yang dijangkiti Covid-19 hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2, diikuti 11 orang dalam kategori 3, lima orang dalam kategori 4 dan dua orang dalam kategori 5.

“Sebanyak 31 peratus daripada kes yang dilaporkan hari ini masih lagi dalam siasatan untuk menentukan kategori jangkitan atau sakit mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, katanya daerah Kota Kinabalu masih mencatat bilangan kes baharu yang tertinggi, iaitu sebanyak 310 kes, namun ada penurunan sebanyak 41 berbanding semalam.

Beliau berkata, ia diikuti Tawau 206 (naik 46), Penampang 127 (naik 14), Tuaran 91 (turun 61), Sipitang 70 (naik 65), Putatan 55 (turun sembilan), Sandakan 52 (turun 23), Beaufort 49 (naik 38), Kota Belud 48 (naik tujuh), Keningau 46 (naik tujuh), Papar 45 (turun 27) dan Telupid 36 (turun 36).

“Daerah Tongod adalah satu-satunya daerah yang tidak mencatatkan sebarang kes baharu hari ini, manakala satu kes di Tambunan dan masing-masing dua kes di Pitas, Ranau dan Kuala Penyu,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata di daerah Kota Kinabalu, walaupun saringan kontak rapat menyumbang 61 peratus daripada 310 kes keseluruhan, peratusan kes melalui saringan bergejala (sporadik) juga tinggi, iaitu 32 peratus.

Katanya, peratusan dalam kategori saringan bergejala juga tinggi di Tuaran iaitu 32 peratus dan diikuti Penampang (25 peratus), manakala di Tawau kategori kontak rapat menyumbang 142 kes atau 69 peratus daripada 206 kes baharu di daerah itu hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|