Hayati ajaran Islam dengan penuh kesungguhan – Tun Juhar

Hayati ajaran Islam dengan penuh kesungguhan – Tun Juhar

Kota Kinabalu: Umat Islam di Sabah digesa supaya menghayati ajaran Islam dengan penuh kesungguhan sejajar tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini, ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’.

Dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1443H/2021M esok, Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, berkata tema itu juga mengajak umat Islam agar menjadi hamba Allah yang sentiasa taat melakukan segala amalan yang diperintahkan.

“Sebagai umat Islam, kita dituntut supaya bermuhasabah, bertaubat dan kembali menghayati serta mengamalkan ajaran Islam dengan sesungguhnya kerana ia adalah kaedah dan peraturan yang diturunkan Allah SWT bagi mensejahterakan kehidupan ummah di dunia dan akhirat.

“Tahun baharu hijrah yang menjelang ini, kita warnai dengan keazaman untuk menjadi hamba Allah SWT yang cemerlang dengan melakukan segala amalan yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang ditegah-Nya.

“Ini penting untuk kita jadikan tekad dan azam serta menginsafi bahawa kelalaian manusia untuk tunduk kepada ajaran agama adalah antara sebab munasabah berlakunya bencana bersilih ganti sejak akhir-akhir ini sebagai peringatan dan pengajaran,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Juhar juga menyeru umat Islam agar memasang azam dan menjadikan tema sambutan pada tahun ini sebagai topik utama kerangka masa depan yang lebih gemilang.

“Sewajarnya, kita mensyukuri dengan memperbaiki segala bentuk kelemahan dan kekurangan pada masa lalu di samping memasang azam serta iltizam baharu, mewacana kerangka masa depan yang lebih gemilang berpaksikan kepada Manhaj Rabbani.

“Langkah ini berupaya membentuk negara aman damai dengan umat yang bersatu padu, maju dan berkualiti dengan setiap individu menjaga akidah, ibadah dan akhlak masing-masing,” katanya.

Dalam perutusannya juga, Tun Juhar turut menyentuh halatuju Sabah Maju Jaya yang digariskan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai tuntutan hijrah masa kini untuk kemajuan negeri ini.

Tambah Tun Juhar, hala tuju itu adalah sebagai garis panduan, visi dan misi untuk membangun serta memakmurkan Sabah sesuai dengan tuntutan hijrah dan seiring dengan usaha melahirkan umat yang berkualiti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|