Beri keutamaan kepada Sabah untuk vaksin Cansino: Anifah

Beri keutamaan kepada Sabah untuk vaksin Cansino: Anifah

Kota Kinabalu: Sabah perlu diberi keutamaan dalam mendapatkan vaksin jenis Cansino yang dibekalkan dari China.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, vaksin dos tunggal berkenaan amat bersesuaian dengan negeri Sabah atas faktor geografi.

Katanya, ia akan membolehkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di kawasan luar bandar dan pedalaman dijalankan dengan lebih lancar.

“Pada ketika ini, penduduk luar bandar dan pedalaman terpaksa diberi vaksin dua dos dan ia memaksa para petugas kembali ke lokasi sama selepas dua minggu pemberian dos pertama.

“Ini menjadi cabaran kepada petugas di mana faktor geografi Sabah yang berbukit bukau selain akses jalan raya yang juga kurang memuaskan boleh mengakibatkan bahaya kepada petugas.

“Dengan adanya vaksin dos tunggal itu nanti petugas hanya perlu datang ke kawasan terbabit sekali dan tidak perlu datang pada minggu berikutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Anifah berkata, proses penghantaran vaksin satu dos itu perlu dihantar mengikut jadual yang ditetapkan tanpa sebarang gangguan terutamanya untuk bekalan luar bandar

“Begitu juga dengan bekalan vaksin seperti Pfizer, Sinovac dan Astrazaneca yang perlu terus dipertingkatkan jumlah bekalannya.

Sementara itu, Anifah berkata, Sabah kini berada di landasan yang terbaik untuk pemberian vaksin kepada rakyat Sabah di mana kadar harian pemberian sudah melebih 40,000 dos sehari.

Katanya, ia akan mampu mencapai sehingga 60,000 dos sehari jika bekalan yang diterima mencukupi.

“Bekalan vaksin yang mencukupi mampu mencapai sasaran imuniti kelompok dengan lebih cepat,” tegasnya.

Mengikut laporan media sebelum ini, sebanyak 400,000 dos vaksin Cansino dijangka akan tiba ke Malaysia pada 15 Ogos ini dengan menggunakan pesawat daripada syarikat penerbangan AirAsia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|