Semua 27 daerah di Sabah kini zon merah

Semua 27 daerah di Sabah kini zon merah

Kota Kinabalu: Semua daerah di Sabah bertukar ke zon merah Covid-19 hari ini, menggambarkan kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi di seluruh negeri dengan setiap daerah mencatat lebih 40 kes aktif.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata ia menjadikan semua 27 daerah di seluruh negeri berada dalam zon merah serentak, pertama kali selepas pandemik COVID-19 melanda Sabah bermula awal tahun lalu.

“Hari ini semua 27 daerah di Sabah adalah zon merah,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Ketika pandemik menular ke Sabah tahun lalu, Tawau adalah daerah pertama diisytihar sebagai zon merah di Sabah iaitu pada 29 Mac tahun lalu.

Ia kemudian diikuti daerah Kota Kinabalu yang diisytihar sebagai zon merah kedua di Sabah, iaitu pada 17 April tahun lalu sebelum disusuli daerah lain.

Daerah Nabawan menjadi daerah terakhir berada dalam zon jingga semalam, sebelum bertukar ke zon merah selepas mencatat lapan kes baharu hari ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata sebanyak 11 kematian akibat Covid-19 turut direkodkan pada hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak tiga kes dilaporkan di Tawau, masing-masing dua kes di Tuaran dan Papar serta masing-masing satu kes di Kota Marudu, Ranau, Kota Kinabalu dan Penampang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|