Program Outreach Imunisasi Covid-19 di kampung melegakan

Program Outreach Imunisasi Covid-19 di kampung melegakan

Kota Kinabalu: “Program suntikan Covid-19 yang diadakan di kawasan kampung melegakan dan amat mempermudahkan semua orang terutamanya nenek seperti saya.”

Demikian kata Sauin Ganah, 71, yang amat gembira dengan komitmen kerajaan dalam penganjuran kempen suntikan vaksin di Kampung Kobuni, Inanam, di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum ini dia dan suami menyangka mungkin terpaksa ke tempat jauh bagi mendapatkan suntikan vaksin berkenaan.

Namun katanya, sebaik dimaklumkan adanya program itu di kampung berhampiran, dia dan suami terus memilih untuk hadir bagi mendapatkan dos pertama suntikan vaksin.

“Sebelum ini, kami diberitahu kemungkinan perlu ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di beberapa lokasi yang agak jauh dari kampung.

“Tetapi sebaik kami tahu ada diadakan di kampung ini, kami terus memilih untuk datang ke sini bagi mendapatkan vaksin,” katanya ketika ditemui, semalam.

Seorang lagi penerima vaksin, Chong Long Chiang, 56, berkata, langkah pihak berkuasa mengadakan program ini di kampung satu tindakan yang amat baik.

Katanya, mereka sekeluarga amat senang untuk hadir dengan hanya berjalan kaki dari rumah yang terletak berhampiran pusat pemberian vaksin di Kampung Kobuni.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N 18 Inanam, Datuk William Majinbon berkata, Kampung Kobuni adalah lokasi kelima penganjuran program vaksinasi untuk penduduk kawasan Inanam.

Katanya, sebelum ini, program berkenaan sudah diadakan di Kampung (Kg) Talungan, Kg Babagon Toki, Kg Ruminding dan Kg Pinahawon.

“Program berkenaan adalah hasil kerjasama PPM Inanam bersama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Bandaraya Kota Kinabalu.

“Kita mempunyai beberapa lagi cadangan untuk mengadakan program vaksinasi ini di beberapa lagi kampung sekitar bagi mempermudahkan penduduk kampung mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

William berkata, program seumpama ini terbukti mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran ramai penduduk kampung yang hadir secara sukarela bagi mendapatkan suntikan.

“Hari ini, kita mensasarkan sebanyak 1,300 penerima vaksin, namun setakat jam 11 pagi ini, kita sudah menerima lebih 400 kehadiran,” katanya.

Note: Ikuti kupasan lanjut seterusnya mengenai isu vaksin Covid-19 di Sabah hanya di Deasoka.com

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|