Dua rumah musnah terbakar

Dua rumah musnah terbakar

Kota Kinabalu: Dua rumah kekal jenis Semi D di Taman Teck Guan Villa, Lido, di sini, hampir musnah terbakar tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, kedua-dua rumah dilaporkan musnah hampir 90 peratus selepas keadaan api yang marak terlalu pantas.

Komander operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Pegawai Bomba Kanan II, Welson Juanis berkata, pihak menerima panggilan kecemasan pada jam 12.18 tengah malam.

Katanya, sepasukan 25 anggota dan pegawai bersama tiga jentera, tiga unit ‘Rapid Intervention Motorcycle’ (RIM) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Operasi turut dibantu Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Lintas dengan sembilan keanggotaan dan dua jentera.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api masih marak membakar dan operasi pemadaman terus segera dilaksanakan pasukan bomba bagi mengelakkan api terus merebak ke rumah berhampiran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Welson berkata, api kebakaran akhirnya berjaya dikawal pada jam 12.43 tengah malam sebelum ditamatkan beberapa minit selepas itu.

Katanya, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

“Bahagian Jabatan Forensik akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|