Rakyat Sabah lebih awal sedar kepentingan vaksin

Rakyat Sabah lebih awal sedar kepentingan vaksin

Kota Kinabalu: Berdasarkan kadar pendaftaran penerima vaksin yang rendah di Sabah, khususnya ketika peringkat awal Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula Februari lalu, mungkin ada beranggapan rakyat negeri ini tidak mahu divaksin.

Mungkin ada juga beranggapan ramai rakyat Sabah terpengaruh dengan propaganda anti vaksin, yang kononnya sesiapa menerima vaksin Covid-19 akan mati atau berdepan pelbagai kesan sampingan yang menjejaskan kesihatan mereka di kemudian hari.

Namun hakikatnya bukan begitu, sebaliknya ramai rakyat di Sabah sebenarnya tidak sabar untuk divaksin kerana mereka terlebih awal merasai betapa takut dan peritnya berdepan situasi peningkatan Covid-19 yang tinggi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September tahun lalu.

Ketika itu Sabah jauh mendahului negeri lain dengan kes harian Covid-19 mencecah empat angka, ditambah jumlah kematian yang meningkat setiap hari dan kesesakan di hospital hingga hampir mencapai penggunaan penuh katil untuk pesakit Covid-19.

Bayangkan Sabah merekodkan kumulatif kes lima angka hanya dalam tempoh sebulan selepas PRN yang mana ketika itu kebanyakan negeri lain hanya merekodkan kes tiga angka, kecuali Selangor, Kuala Lumpur, Kedah dan Johor yang mencatat empat angka.

Lebih pedih, PRN Sabah dituding sebagai punca berlakunya gelombang kedua Covid-19 ketika itu dengan kebanyakan kes baharu di Semenanjung selepas September tahun lalu dikatakan dibawa dari Sabah dan dirujuk sebagai Kluster Bah.

Rakyat Sabah terpaksa menelan hakikat itu, namun percaya atau tidak sejak itulah harapan untuk vaksin Covid-19 segera dihasilkan dan diagihkan kepada penduduk, khususnya di Sabah sudah mula berputik dalam hati ‘Sabahan’ terutama mereka yang menjadi mangsa Covid-19.

Tentu ramai masih ingat, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor adalah antara pemimpin negeri yang terawal dijangkiti Covid-19 dan dirawat di Hospital Queen Elizabeth (QEH) sejurus selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membentuk kerajaan pada tahun lalu.

Beliau juga adalah antara individu pertama menerima vaksin Covid-19 menerusi pelaksanaan PICK di Sabah pada Mac lalu untuk membuktikan vaksin itu adalah selamat sebelum disusuli penerima vaksin dalam kalangan petugas barisan hadapan.

Sejurus selepas itu rakyat Sabah sebenarnya sudah tidak sabar untuk mendapatkan vaksin, cuma mereka tidak dapat meminta untuk dipercepatkan memandangkan PICK dilaksanakan secara berfasa bermula dengan petugas barisan hadapan dalam fasa pertama sebelum disusuli warga emas dalam fasa kedua dan seterusnya.

Jika adapun yang tidak berminat dengan vaksin, mereka hanyalah sebahagian kecil daripada populasi dan mungkin boleh dianggap sebagai golongan 20 peratus yang tidak termasuk dalam imuniti kelompok.

Persoalannya mengapa kadar pendaftaran penerima vaksin di Sabah begitu perlahan? Benarkah rakyat negeri ini tidak menolak vaksin kerana hanya 15 peratus mendaftar ketika PICK untuk penerima warga emas dan orang awam bermula pada April lalu, iaitu yang tercorot berbanding negeri lain.

Malah, sehingga semalam kadar pendaftaran penerima vaksin di Sabah baru mencapai 42 peratus berbanding pesaing terdekatnya, Kelantan yang mencatat 68 peratus, manakala Sarawak yang berjiran dengannya pula mencatat 83 peratus, diikuti Labuan 91 peratus.

Hajiji bersama pemimpin lain termasuk Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, baru-baru ini beberapa kali menyuarakan pentingnya bekalan vaksin mencukupi dihantar ke Sabah tanpa mengambil kira jumlah pendaftaran penerima vaksin kerana ia bukan gambaran tepat sambutan rakyat Sabah terhadap vaksin Covid-19.

Ramai rakyat Sabah katanya belum mendaftar disebabkan kekangan peranti dan liputan internet yang mengehadkan penggunaan aplikasi MySejahtera bagi mendaftar sebagai penerima vaksin, selain masalah perhubungan yang menyukarkan rakyat di luar bandar keluar ke klinik atau hospital untuk mendaftar secara manual.

Tambahan lagi, masih ada rakyat tidak mengetahui keperluan untuk mendaftar sebagai penerima vaksin terutama di luar bandar kerana tidak mendapat maklumat tepat mengenai PICK atau ada juga yang tertanya-tanya apa perlunya mendaftar sebelum diberikan vaksin.

Seperti kata Bung Moktar, pendaftaran melalui MySejahtera bukan kaedah terbaik di Sabah, sebaliknya inisiatif lain seperti daftar terus suntik melalui program jangkauan luar harus diperbanyakkan selain membuka lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar bandar untuk memudahkan penduduk mendapatkan vaksin.

“Program jangkauan luar paling berkesan untuk memastikan penduduk di luar bandar mudah untuk menerima suntikan vaksin kerana mereka tidak perlu keluar jauh untuk mendapatkan vaksin yang kosnya agak mahal bagi mereka,” katanya mengulas program suntikan vaksin melalui jangkauan luar atau outreach di Kinabatangan, baru-baru ini.

Penerimaan rakyat terhadap vaksin Covid-19 menerusi program itu dibuktikan dengan kehadiran ramai penduduk kampung termasuk mereka yang belum mendaftar atau hanya menyerahkan senarai nama melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Malah, kini ramai yang risau nama mereka belum dipanggil untuk menerima vaksin Covid-19 walaupun sudah mendaftar melalui pelbagai medium termasuk secara manual kerana sedar hanya melalui suntikan vaksin membolehkan mereka lebih yakin berdepan dengan situasi semasa pandemik Covid-19.

Kebimbangan mereka sudah pasti bertambah berikutan catatan kes harian Covid-19 di negeri ini yang mencecah empat angka sejak kelmarin, semakin menghampiri rekod peningkatan mendadak kes positif harian selepas PRN pada tahun lalu.

Berdasarkan penerimaan rakyat terhadap vaksin Covid-19 yang semakin baik itu, tidak mustahil sasaran kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok atau 80 peratus populasi divaksin lebih awal berbanding akhir tahun ini dapat dicapai.

Hanya satu lagi isu yang boleh menjejaskan usaha berkenaan iaitu kelewatan penghantaran bekalan vaksin ke Sabah seperti yang berlaku pada bulan lalu hingga menyebabkan banyak PPV terpaksa ditutup sementara kerana kehabisan dos untuk disuntik.

Perkara itu juga sudah berulang kali disuarakan kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan kerana situasi itu bukan saja menimbulkan rungutan penerima vaksin yang temujanji mereka terpaksa ditangguhkan, malah melambatkan lagi proses pemulihan ekonomi yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berterusan sebagai kaedah membendung penularan Covid-19.

Sehingga semalam, seramai 392,252 penduduk Sabah sudah menerima dua dos suntikan vaksin covid-19, mewakili kira-kira 10 peratus daripada populasi negeri ini dengan purata harian pemberian vaksin ketika ini melebihi 30,000 dos.

Note: Ikuti kupasan lanjut seterusnya mengenai isu vaksin Covid-19 di Sabah hanya di Deasoka.com

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|