Sembunyi dadah dalam bekas gula-gula

Sembunyi dadah dalam bekas gula-gula

Beaufort: Seorang lelaki yang disyaki penagih dadah ditahan polis selepas didapati memiliki dadah yang disembunyikan di dalam bekas gula-gula, kelmarin.

Dalam operasi jam 4.30 petang itu, lelaki berusia 34 tahun terbabit ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 2.68 gram.

Pemangku Ketua Polis Daerah Beaufort Asisten Superintendan Dublin Patrick Rudes berkata, dalam operasi pemantauan yang dijalankan, suspek ditahan di sebuah kawasan parkir di pekan daerah berkenaan.

Katanya, pemeriksaan awal yang dijalankan terhadap Perodua Kancil dipandu suspek tidak menemui sebarang salah laku.

“Bagaimanapun, pemeriksaan fizikal yang dijalankan terhadap badan suspek membawa kepada penemuan satu bekas plastik bertulis ‘Sugar Free Mentos’.

“Pasukan operasi kemudiannya mendapati bekas berkenaan berisi keratan straw plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah syabu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dublin berkata, suspek terus ditahan dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|