300 lokasi dipasang teknologi VSAT untuk akses internet

300 lokasi dipasang teknologi VSAT untuk akses internet

Sipitang: Sebanyak 300 lokasi di kawasan luar bandar Sabah akan dilengkapkan dengan peralatan teknologi satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) bagi meningkatkan capaian internet di kawasan terbabit.

Menteri Sains, teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan, berkata inisiatif itu adalah sebahagian perancangan kementeriannya dalam usaha merapatkan jurang digital di antara komuniti bandar dan luar bandar di seluruh negeri.

Katanya, perancangan mengenai inisiatif itu sudah dibuat, manakala pemasangannya dijadual boleh dilaksanakan menjelang tahun depan.

“Selain itu, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada tahun 2022 juga akan meliputi 90 peratus kawasan di seluruh negeri Sabah.

“Pelan ini dirangka untuk menyediakan liputan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi selain mempersiapkan negara beralih kepada rangkaian internet 5G,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Pusat e-Desa Kampung Pelakat, dekat sini, hari ini.

Mengulas mengenai Pusat e-Desa di kampung berkenaan, Yakub berkata ia mampu menyediakan kemudahan yang lengkap dan sama rata untuk mengakses maklumat melalui teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Katanya, Pusat e-Desa juga memberi khidmat nasihat dan bimbingan mengenai ICT kepada komuniti setempat.

“Pusat e-Desa boleh membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat dengan menjalankan aktiviti atau program inovasi dan kreatif melalui kemudahan dan prasarana yang disediakan,” katanya.

Sementaara itu, Yakub berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menambah pembinaan menara telekomunikasi baharu bagi meningkatkan tahap kesalinghubungan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar di Sabah.

“SKMM juga akan menaik taraf stesen pemancar sedia ada kepada 4G dan menambah baik Pusat e-Desa kepada Pusat Internet Komuniti (PIK),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|