RM10 juta pembangunan kaum untuk Sabah dan Sarawak tidak adil – Shafie Apdal

RM10 juta pembangunan kaum untuk Sabah dan Sarawak tidak adil – Shafie Apdal

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempertikaikan pengagihan peruntukan untuk pembangunan kaum di Sabah dan Sarawak yang hanya berjumlah RM10 juta dalam Bajet 2022.

Beliau menyifatkan peruntukan itu tidak adil memandangkan kaum lain diberikan jumlah peruntukan yang jauh lebih besar berbanding untuk semua kaum di kedua-dua negeri Borneo itu.

“Dalam belanjawan ini, peruntukan yang diberikan kepada kaum Cina ialah RM200 juta, kaum India ialah RM145 juta dan Orang Asli adalah RM247 juta.

“Namun, peruntukan pembangunan untuk semua kaum (anak negeri) di Sabah dan Sarawak hanya RM10 juta. Di manakah keadilannya?,” soalnya ketika membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Bajet 2022 yang dibentangkan Jumaat lalu memperuntukkan RM10 juta untuk menggalakkan anak-anak Sabah dan Sarawak mendalami ilmu berkaitan budaya dan warisan.

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu turut mempersoalkan peruntukan pembangunan yang diberikan kepada Sabah sebanyak RM5.2bilion dan Sarawak RM4.6 billion pada tahun depan.

Katanya, jumlah itu hanya meliputi 3.04 peratus daripada keseluruhan nilai belanjawan tahun depan yang berjumlah RM322.5 bilion.

“Namun demikian, untuk rekod pada tahun 2020, Sabah dan Sarawak menyumbang lebih kurang RM145 bilion melalui keuntungan hasil petroleum kepada kerajaan persekutuan.

“Ini merangkumi 45 peratus daripada jumlah Belanjawan 2022. Satu jumlah yang besar tetapi peruntukan yang diberikan kepada kedua-dua negeri Borneo ini masih tidak signifikan untuk membantu melonjak pembangunan di negeri-negeri ini,” katanya.

Katanya, ia jelas menunjukkan sekali lagi orang Sabah dan Sarawak disisihkan oleh kerajaan persekutuan.

“Saya berpendirian, untuk mencapai kemakmuran dalam negara ini, kerajaan perlu berlaku adil kepada semua negeri. Janji yang dibuat kepada Sabah dan Sarawak ketika penubuhan Malaysia pada 1963 mesti dikotakan untuk kebaikan bersama.

“Hanya dengan pembahagian kekayaan dan sumber yang adil dan saksama sahaja, yang boleh membuatkan kita hidup aman damai dan bardaya maju,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|