141 projek inovasi dilaksanakan UMS

141 projek inovasi dilaksanakan UMS

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang melaksanakan sebanyak 141 projek inovasi selain terus komited untuk menjalankan lebih banyak aktiviti berkaitan inovasi.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, berkata ia selaras dengan galakan dan penyediaan peruntukan kerajaan dalam mengembangkan bidang sains, teknologi dan inovasi di negara ini.

Katanya, penyediaan peruntukan lebih tinggi kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam Bajet 2022 membuka lebih banyak peluang melaksanakan projek inovasi.

“Justeru itu, UMS amat komited untuk meningkatkan inovasi di universiti yang terbukti dengan adanya sebanyak 141 projek inovasi yang sedang diusahakan di UMS sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi Bajet 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu, kerajaan menyediakan RM423 juta untuk melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada MOSTI dan KPT pada tahun ini.

Taufiq berkata, peruntukan besar itu menggambarkan sokongan kerajaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pemodenan negara melalui inovasi dalam bidang sains dan teknologi.

Sementara itu, beliau berkata Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) miliknya boleh membantu mana-mana agensi, persatuan atau individu melaksanakan kajian atau aktiviti berkaitan khazanah budaya dan warisan rakyat Sabah.

Kajian atau aktiviti seumpama itu, katanya boleh dilaksanakan dengan memanfaatkan peruntukan berjumlah RM10 juta yang disediakan kerajaan Pusat melalui Bajet 2022 untuk menggalakkan anak Sabah dan Sarawak mendalami warisan budaya mereka.

“Kita menyambut baik peruntukan sebanyak RM10 juta untuk menggalakkan anak-anak Sabah dan Sarawak mendalami ilmu berkaitan budaya dan warisan Negeri Sabah dan Sarawak.

“Peruntukan ini boleh dimanfaatkan untuk menggalakkan kajian dan aktiviti yang boleh membantu memelihara dan mengembangkan lagi khazanah budaya dan warisan Sabah dan Sarawak yang semakin kurang diamalkan terutama di kalangan generasi baharu.

“Melalui Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), UMS bersedia membantu mana-mana agensi, persatuan atau orang perseorangan dalam usaha itu,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Taufiq menyifatkan Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur dan Sejahtera’ sebagai komprehensif, inklusif dan berkebajikan serta mampu membantu mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Jelasnya, belanjawan tahun depan itu juga meletakkan Malaysia di landasan yang betul ke arah pemulihan ekonomi dan sosial.

“Saya yakin, Bajet 2022 yang diumumkan menggambarkan komitmen kerajaan untuk melindungi kepentingan rakyat dan negara dengan menyediakan bantuan jangka pendek dan sederhana kepada individu dan perniagaan, di samping tidak mengenepikan kepentingan pembangunan masa hadapan khususnya pemerkasaan modal insan melalui pertambahan peruntukan untuk pendidikan serta (R&D).

“Komitmen kerajaan terhadap pendidikan juga ditunjukkan melalui pelbagai bantuan seperti inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi yang dijangka melibatkan perbelanjaan lebih RM500 juta dan memanfaatkan seramai 600,000 pelajar.

“Selain itu, kerajaan turut memberikan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan bagi menyediakan peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.

Bajet 2022 memperuntukkan RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan Malaysia berbanding RM50.4 billion dalam bajet tahun ini, menjadikan sektor pendidikan sebagai penerima peruntukan tertinggi dalam perbelanjaan kerajaan, manakala KPT diberikan RM14.45 bilion pada tahun depan berbanding RM14.4 bilion tahun ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|