Empat rumah teres terbakar

Empat rumah teres terbakar

Kinarut: Empat rumah teres dua tingkat terbakar dalam kejadian di Taman Sri Kinarut, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, tiga rumah dilaporkan musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami 70 peratus kerosakan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.19 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 12 anggota dan pegawai bersama jentera serta lori tangki dikerah ke lokasi kejadian.

“Pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan tiga pancutan dua aliran 100 meter menggunakan sumber air daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran.

“Bagaimanapun, pasukan bomba pada awalnya mengalami kesukaran untuk mengawal kebakaran disebabkan tekanan air pili bomba rendah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja memadam kebakaran kemudiannya diteruskan dan api berjaya dikawal pada jam 3.26 petang.

Selain itu katanya, tiada sebarang kecederaan dan kematian dilaporkan berlaku dalam kejadian berkenaan.

“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 5.45 petang.

“Bahagian Forensik JBPM akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden kebakaran ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|