Minyak sawit tumpah, tangki tertusuk kayu balak

Minyak sawit tumpah, tangki tertusuk kayu balak

Nabawan: Pasukan bomba terpaksa menjalankan operasi pembersihan tumpahan minyak selepas lori membawa bahan berkenaan mengalami kebocoran dalam kejadian di Jalan Sapulut, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, lori berkenaan dikatakan berselisih dengan sebuah lagi lori membawa muatan kayu balak dari arah bertentangan.

Pasukan bomba memotong kayu yang menusuk tangki berisi minyak sawit menggunakan alat pemotong. Gambar ihsan bomba.

Bagaimanapun, tangki lori berkenaan kemudiannya dilaporkan tertusuk dengan muatan yang dibawa lori balak berkenaan dan terus menyebabkan tumpahan minyak di atas jalan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.10 malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian.

Anggota bomba menyiram minyak sawit yang tumpuh di atas jalan. Gambar ihsan bomba.

“Lokasi kejadian tumpahan minyak berkenaan terletak kira-kira 70 meter dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook.

“Pasukan bomba terus menjalankan operasi menyiram minyak menggunakan satu aliran dan memotong kayu menggunakan alat pemotong,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang mangsa yang mengalami kecederaan ataupun kematian dilaporkan dalam insiden berkenaan.

“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 8.41 malam,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|