Individu tiba dari luar negara boleh jalani kuarantin wajib 7 hari – Masidi

Individu tiba dari luar negara boleh jalani kuarantin wajib 7 hari – Masidi

Kota Kinabalu: Pengembara warga negara dan bukan warga negara yang tiba di pintu masuk antarabangsa di Sabah boleh dipertimbangkan menjalani kuarantin wajib tujuh hari.

Pertimbangan itu bagaimanapun hanya diberikan kepada individu yang sudah lengkap vaksin, manakala kuarantin wajib 10 hari bagi yang belum lengkap vaksin atau tiada imunisasi.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pengembara yang sudah lengkap vaksin turut dibenarkan untuk menjalani kuarantin di rumah.

“Pengembara warga negara dan bukan warga negara dari luar negara yang tiba di pintu masuk antarabangsa boleh dipertimbangkan untuk menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari bagi yang telah lengkap vaksin Covid-19 atau 10 hari bagi yang tiada atau tidak lengkap vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sebelum ini, individu dari luar negara yang baru tiba di negeri ini diwajibkan menjalani kuarantin sehingga 14 hari.

Sementara itu, Masidi berkata sehingga semalam, seramai 2,053,284 orang atau 74.44 peratus daripada penduduk dewasa Sabah sudah lengkap vaksin Covid-19.

Katanya, seramai 2,096,762 orang atau 76.01 peratus daripada penduduk dewasa di Sabah pula sudah menerima satu dos vaksin.

“Seramai 328,651 orang atau 75.73 peratus penduduk remaja pula menerima satu dos vaksin, manakala yang lengkap dua dos vaksin seramai 277,722 atau
63.99 peratus daripada jumlah remaja di Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|