Bajet terbaik untuk semua

Bajet terbaik untuk semua

Kota Kinabalu: Pembentangan bajet 2022 yang diumumkan di Dewan Rakyat, Jumaat lalu, memberi keutamaan kepada kumpulan sasar seperti warga emas, kanak-kanak dan ibu bapa tunggal serta orang kurang upaya (OKU).

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, beliau amat mengalu-alukan pembentangan itu dan percaya ia adalah bantuan sewajarnya.

Katanya, perkara yang menarik perhatian terutamanya ketika negara memasuki fasa pemulihan ekonomi.

“Sejak kita dilanda pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu, kerajaan membuat inisiatif untuk jaminan pekerjaan.

“Inisiatif jamin kerja berkenaan memperuntukkan sebanyak 600,000 peluang pekerjaan untuk rakyat dan semestinya ia membabitkan komposisi orang muda secara majoriti,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Shahelmy berkata, selain itu, kerajaan juga mempunyai inisiatif MyStep iaitu memberi peluang pekerjaan kepada para graduan seperti skim latihan.

“Di mana MyStep ini akan mewujudkan sebanyak 80,000 peluang untuk sangkutan kerja sementara.

“Ini semestinya akan membantu para graduan yang baru menamatkan pengajian untuk mendapat pengalaman dan seterusnya menjadikan mereka lebih kompetitif.

“Oleh itu, menerusi peluang pekerjaan yang akan diwujudkan, ia akan dapat membantu ke arah memacu pertumbuhan ekonomi negara, selaras dengan langkah pemulihan yang digariskan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai usaha pemberian vaksin, Shahelmy berkata, kerajaan sudah mencapai sebanyak 74.35 peratus penerima vaksin.

Manakala katanya, bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula sudah mencecah sebanyak 63.4 peratus.

“Pemberian vaksin ini akan diteruskan dari semasa ke semasa tetapi daripada perkembangan harian, kita melihat hampir semua rakyat Sabah sudah menerima vaksin.

“Kita percaya ada penduduk yang datanya masih dalam negeri Sabah namun mereka sudah menerima vaksin di luar negeri,” katanya.

Shahelmy berkata, mengikut rekod dalam pemberian bantuan prihatin negeri, ada seramai 171,000 penerima bantuan prihatin berada di luar sabah seperti di Lembah Klang dan Johor.

“Jadi kalau kita mengambil statistik itu, ataupun jumlah itu, mereka juga mungkin sudah menerima vaksin di luar Sabah tetapi data mereka masih berada di dalam negeri.

“Namun, kita masih mengalu-alukan rakyat yang belum menerima vaksin atau belum membuat keputusan untuk menerima vaksin untuk boleh tampil ke hadapan bagi mendapatkan vaksin,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|