Labuan: Lebih 100 orang delegasi pelabur dari Semenanjung dan China datang ke pulau bebas cukai ini pada minggu lalu untuk meninjau peluang perniagaan dan pelaburan yang boleh diterokai mereka.
Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato’ Seri Amir Hussien, berkata mereka adalah rombongan pertama pelabur yang datang ke Labuan hasil inisiatif pihaknya dalam usaha merancakkan semula ekonomi Labuan.
Katanya, kehadiran delegasi terbabit saja menjana lebih RM600,000 kepada sektor perniagaan menerusi perbelanjaan penginapan, pengangkutan, makanan, barangan cenderamata dan produk pelancongan selama tiga hari berada di pulau ini.
Beliau berkata, selepas ini rombongan kedua delegasi pelabur seramai lebih 200 orang dijadual tiba pada petengahan bulan ini yang lebih tertumpu dalam peluang kerjasama dengan pengusaha industri kecil dan sederhana tempatan.
“Meskipun Labuan belum bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19, namun kita mengambil langkah proaktif dengan memfokuskan kepada pemulihan ekonomi Labuan dalam tempoh terdekat.
“Justeru itu, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Labuan akan membuka peluang kepada pihak swasta dari luar Wilayah Persekutuan Labuan untuk datang dan melihat sendiri peluang perniagaan dan pelaburan yang terdapat di pulau bebas cukai ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, usaha itu diharap dapat merancakkan ekonomi Labuan dalam waktu terdekat yang akan memberi kesan positif kepada pendapatan warga Labuan secara keseluruhan.
-Deasoka