Monsun Timur Laut: Sabah diramal alami hujan lebat pada Januari, Februari 2022

Monsun Timur Laut: Sabah diramal alami hujan lebat pada Januari, Februari 2022

Kota Kinabalu: Sabah dan Sarawak diramal mengalami hujan lebat Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh pada Januari dan Februari depan.

Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) dalam kenyataannya hari ini berkata musim tengkujuh diramal bermula Rabu ini di negeri pantai timur Semenanjung, khususnya Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

“Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 3 November dan berterusan sehingga Mac 2022. Sepanjang tempoh berkenaan, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.

“Fasa awal Monsun Timur Laut iaitu dari November hingga awal Januari 2022, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

“Bermula awal Januari dan Februari 2022 pula, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Sarawak dan Sabah,” kata kenyataan itu.

Berdasarkan kenyataan berkenaan, cuaca agak kering di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan pula diramal berlaku mulai Januari hingga Mac 2022.

Sementara itu, katanya kebanyakan tempat di Malaysia dijangka menerima hujan pada paras purata sepanjang Monsun Timur Laut kali ini.

“Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan rendah dan kawasan kerap banjir.

“Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk.

“Selain itu, tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan manakala kawasan pantai negeri yang menghadap Laut China Selatan juga dijangka mengalami risiko kenaikan paras laut,” kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, Met Malaysia menasihatkan orang ramai agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan jabatan itu melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi myCuaca dan laman media sosial rasmi Met Malaysia.

Orang ramai boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-322-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|