PATI dipenjara 23 tahun, 12 sebatan kerana merogol

PATI dipenjara 23 tahun, 12 sebatan kerana merogol

Tawau: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman 19 tahun penjara dan tujuh sebatan selepas mengaku bersalah merogol wanita berusia 21 tahun.

Tertuduh membuat pengakuan terbabit dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen Tawau, Awang Kerisnada Awang Mahmud, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh Tion Amat, 26, didakwa merogol mangsa yang sedang berbasikal di dalam lot kelapa sawit ladang Kumansih Kalabakan, 17 Oktober lalu.

Tertuduh dikatakan mengugut mangsa dengan cara mengacukan pisau di leher mangsa sebelum merogolnya dalam kejadian jam 6.45 pagi itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(2) kanun yang sama yang membawa hukuman tidak kurang 10 tahun sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut dihukum penjara empat tahun dan lima sebatan selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen yang sah.

Dalam perbicaraan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana memohon supaya kedua-dua hukuman dijalankan secara berasingan.

Awang Kerisnada kemudiannya memutuskan tertuduh supaya menjalankan secara berasingan berkuatkuasa dari tarikh sabitan kes iaitu penjara 23 tahun dan 12 sebatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|