Dua rumah musnah terbakar

Dua rumah musnah terbakar

Papar: Dua rumah jenis tidak kekal terbakar dalam kejadian di Kampung Langkuas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, kedua-dua rumah berkeluasan keseluruhan 445 meter persegi berkenaan musnah sepenuhnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.58 tengah hari.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, pasukan operasi mengalami kesukaran untuk sampai ke lokasi kebakaran disebabkan bukit yang curam dan berlaku tanah runtuh.

“Pasukan Bomba sekali lagi berdepan kesukaran memadamkan api kebakaran berikutan ketiadaan bekalan air disebabkan keadaan curam dan tekanan pili bomba rendah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja memadam kebakaran kemudiannya diteruskan menggunakan baldi dan air paip sehingga api padam sepenuhnya.

Katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan api berjaya dikawal pada jam 2.30 petang.

“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 3.41 petang.” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|