Tiada rombakan besar skuad Sabah FC – Ong Kim Swee

Tiada rombakan besar skuad Sabah FC – Ong Kim Swee

Kota Kinabalu: Senarai kesebelasan utama skuad Badak menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan kedua aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Johor malam esok akan ditentukan selepas sesi latihan petang ini.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, bagaimanapun berkata tiada rombakan besar-besaran dilakukan dalam pasukan Sabah FC tetapi kemungkinan besar akan ada beberapa muka baharu diturunkan, malam esok.

Katanya, apa yang pasti pemain muda tetap menjadi pilihan berikutan beberapa pemain utama masih berada dalam senarai pemain yang mengalami kecederaan.

“Kita mahu malam esok semua pemain perlu kekal fokus daripada awal permainan bagi mengelak dibolosi dengan mudah pada minit-minit awal permainan.

“Kita sudah melihat bagaimana Jumaat lalu JDT mendapat dua gol awal dengan mudah hasil kesilapan yang boleh dielak sekiranya mereka (pemain) kekal fokus pada perlawanan malam itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kim Swee berkata pemain Sabah FC tidak boleh hilang fokus hingga melakukan kesilapan mudah yang membolehkan JDT mendapatkan gol pada minit awal permainan malam esok.

“Kita harus pastikan kita tidak akan dibolosi terutama pada minit awal. Ini sudah tentu akan mengganggu rentak permainan kita jika ia berlaku lagi malam esok,” katanya.

Dalam tempoh sama, Kim Swee berkata beliau juga harus memikirkan memikirkan beberapa pemain yang dilayangkan kad kuning pada siri perlawanan lalu.

“Ini sudah tentu akan menjejaskan sedikit persiapan dan perancangan Sabah FC dalam menghadapi perlawanan seterusnya selepas menentang JDT,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|