Kota Kinabalu: Harga 11 jenis barangan yang ditetapkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021 berkuatkuasa hari ini hingga 7 November depan dipatuhi peniaga di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua barangan mematuhi skim harga maksimum ditetapkan.
Katanya, pihaknya turut meminta peniaga barang kawalan berjadual seperti minyak masak, gula dan tepung supaya memastikan bekalan ini sentiasa mencukupi bukan saja musim perayaan deepavali, tetapi juga musim tengkujuh hujung tahun ini.
“Dan kita juga menasihatkan peniaga supaya membuat kawalan kendiri ke atas penjualan minyak masak bersubsidi dalam paket untuk menghadkan pembelian dua paket atau dua kilogram seorang.
“Ini untuk memastikan bekalan minyak masak sentiasa ada untuk para pengguna. Begitu juga minyak masak botol mengikut penetapan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya ketika meninjau harga barangan di sebuah pasaraya di Manggatal, di sini, hari ini.
Shahelmey berkata, pihaknya juga meminta para peniaga supaya menjalankan perniagaan secara beretika dan mematuhi semua undang-undang terutama yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP serta kementerian berkaitan lain.
Selain itu katanya, pihaknya berharap kesedaran pengguna mengenai hak-hak pengguna akan juga sentiasa diamalkan.
“Ini penting, pengguna juga boleh menjadi sebagai mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat sekiranya ada peniaga peniaga yang tidak mematuhi segala garis panduan ataupun peraturan yang ditetapkan kerajaan.
“Setiap maklumat ataupun sebarang pertanyaan boleh disalurkan kepada KPDNHEP menerusi Aplikasi WhatsApp, emel, aduan online dan sebagainya,” katanya.
-Deasoka