PPM rampas rokok seludup

PPM rampas rokok seludup

Semporna: Operasi pemantuan secara berterusan yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) sekali lagi berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok tanpa cukai di kawasan Laut Pulau Bohey Dulang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, PPM daerah ini yang menjalankan rondaan terserempak dengan sebuah bot yang dinaiki seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, sebaik cuba dihampiri untuk pemeriksaan, lelaki terbabit terus memecut laju ke pesisir pantai sebelum melarikan diri ke hutan di pulau berkenaan.

Rokok beserta rampasan lain.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan menemui empat bungkusan kotak berisi pelbagai jenis rokok.

Katanya, polis percaya suspek membawa semua rokok tanpa cukai berkenaan dari negara jiran Filipina untuk pasaran tempatan.

“Rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan nilai rampasan keseluruhan termasuk bot serta enjin dianggarkan berjumlah RM63,650,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Kawalan PPM Sabah di talian 0139391197.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|