Membudayakan masyarakat prihatin

Membudayakan masyarakat prihatin

Putatan: Mewujudkan masyarakat prihatin yang mampu membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19, menjadi salah satu sasaran Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Menterinya, Shahelmey Yahya berkata, sikap prihatin masyarakat itu akan dapat memelihara kesejahteraan rakyat terutamanya dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Katanya, semangat saling bantu membantu itu akan memastikan kesusahan dan kesan buruk yang terpaksa dihadapi dapat dilalui dengan sebaiknya.

“Salah satu hikmah disebalik pandemik ini ialah menimbulkan semangat saling bantu membantu kita sesama masyarakat tanpa melihat perbezaan latar belakang.

“Apa yang perlu disedari ialah kita harus membantu mereka yang memerlukan supaya kesejahteraan rakyat terpelihara dan sekaligus membantu masyarakat yang amat terkesan” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika menyempurnakan acara agihan bakul makanan Program Kemasyarakatan inisiatif Persatuan Komuniti Taman Desa Seri Ketiau di Putatan pagi tadi.

Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat N24 Tanjung Keramat, Sufian Matin dan Pengerusi Persatuan Komuniti Taman Desa Seri Ketiau, Mohamad Al’freedo Mohd Yahya.

Shahelmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N24 Tanjung Keramat berkata, diharap usaha dan semangat itu akan dapat terus subur dari masa ke semasa.

Katanya, ia tidak perlu hanya bergantung kepada keadaan semasa seperti pandemik kali ini atau sebaliknya di masa akan datang.

Untuk rekod, sumbangan bakul makanan yang diedarkan itu adalah hasil sumbangan komuniti penduduk Taman Desa Seri Ketiau untuk diagihkan kepada penerima sekitar Daerah Putatan.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|