Pesara terus berkhidmat sebagai pemandu van jenazah percuma

Pesara terus berkhidmat sebagai pemandu van jenazah percuma

Kota Kinabalu: Pengalaman selama 30 tahun sebagai pemandu ketika bertugas di Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) memberi pengajaran yang amat berharga buat Mohd Shuaib Mohd Kassim, 65 tahun.

Sepanjang perkhidmatan, beliau mengakui berdepan pelbagai rantaian kesukaran dan cabaran sehingga memberikan keinsafan serta pengajaran untuk terus membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Semasa dalam perkhidmatan dengan kedua-dua agensi berkenaan, Mohd Shuaib juga seringkali menjadi pemandu pengganti untuk van jenazah.

Pengalaman itu membuatkannya memilih untuk membantu masyarakat sebagai pemandu van jenazah sehingga kini.

Ia disebabkan beliau memahami kesukaran yang dihadapi ketika kehilangan ahli keluarga tersayang membuatkannya mahu terus berkhidmat kepada masyarakat dengan menawarkan khidmat van jenazah.

Malah niat murni persara kerajaan itu turut mendapat sokongan daripada ahli keluarganya yang turut membantu menjalankan aktiviti berkenaan walaupun ia bukan sesuatu yang menguntungkan dari segi wang ringgit.

Sehingga kini, perkhidmatan penghantaran jenazah yang diuruskan keluarga Mohd Shuaib semakin berkembang dan kini sudah memiliki dua van serta sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser untuk penghantaran ke kawasan luar bandar.

Salah sebuah van yang sering digunakan ketika melakukan khidmat penghantaran jenazah.

Mohd Shuaib berkata, selepas bersara pada tahun 2012, beliau mengambil keputusan untuk membuat kerja-kerja amal dengan menawarkan khidmat penghantaran jenazah.

Katanya, perkhidmatan yang disediakannya adalah secara ikhlas dam tidak meminta keuntungan terutamanya kepada mereka yang kurang bernasib baik.

“Saya sebagai pemandu yang membuat perkhidmatan ini, melakukannya secara ikhlas, hanya minta bantuan isi minyak dan selepas itu penghantaran diteruskan.

“Waktu juga tidak tentu, boleh katakan bersiap sedia 24 jam. Ada saja panggilan memohon bantuan sama ada dari hospital atau saudara mara, saya akan bantu. Tidak pernah menolak,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Jelas beliau, perkhidmatan yang dilakukannya juga tidak terhad kepada orang Islam semata-mata kerana dan sering membantu masyarakat bukan Islam dalam urusan penghantaran mayat.

“Ada separuhnya yang ada harta, ada yang tidak ada harta. Jadi daripada situ, balas budi kasihan saya, terbuka untuk membantu mereka.

“Kita faham, ada perkhidmatan yang meminta bayaran RM300, RM500, RM1,000 hingga RM2,000. Tapi untuk keluarga miskin, kasihan kerana mereka tidak mampu,” katanya.

Van jenazah yang digunakan bagi urusan penghantaran jenazah.

Mohd Shuaib berkata, bagi dirinya sekadar ucap terima kasih pun sudah mencukupi untuknya membantu mereka yang memerlukan.

Sementara itu, beliau berkata, mendapat kenderaan untuk menjalankan perkhidmatan penghantaran jenazah itu adalah hasil sumbangan rakan-rakan sekerja, orang perseorangan dan wang simpanan sendiri.

Katanya, niat murni yang disuarakannya ternyata mendapat sokongan kuat daripada masyarakat sendiri membuatkannya lebih bersemangat untuk terus berkhidmat.

“Saya mendapatkan semua kereta jenazah ini adalah sumbangan kawan-kawan di JHEAINS dan MUIS, orang kampung dan pegawai-pegawai kerajaan, itulah sebab saya dapat membeli dua van dan sebuah pacuan empat roda untuk tujuan ini.

“Tanpa sokongan kawan-kawan, saya tidak mungkin boleh menjalankan kerja ini. Itu untuk sumbangan dunia dan akhirat. RM10 pun bagi kita nilainya banyak,” katanya.

Tambah beliau, kini pihaknya tidak lagi terhad kepada penghantaran jenazah, tetapi turut membantu membuat penghantaran orang sakit terutamanya di luar bandar menggunakan pacuan empat roda yang dimiliki.

Van dan pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang beliau miliki turut digunakan untuk khidmat penghantaran jenazah.

Katanya, Toyota Land Cruiser itu sering digunakan untuk penghantaran ke kawasan kampung yang tidak mempunyai jalan sempurna dan berbukit-bukau.

Mohd Shuaib bersama rakannya yang sukarela membawa mengurus jenazah untuk dibawa ke tanah perkuburan.

“Saya gunakan kereta pacuan empat roda ini untuk melalui jalan yang berlumpur dan berbukit-bukau terutamanya di luar bandar.

“Paling menyedihkan, apabila ada kadang-kadang ada keluarga orang sakit atau meninggal dunia yang buntu di tengah jalan dan terpaksa menunggu bantuan bagi menyelesaikan penghantaran ke kampung mereka,” katanya.

Mohd Shuaib berkata, pihaknya akan meneruskan khidmat sampai yang termampu dan mengharapkan usaha murni itu diteruskan ahli keluarga terutamanya anak-anaknya.

“Sumbangan ini untuk dunia dan akhirat, bantu orang susah. Oleh itu, pada rakan-rakan yang membantu selama ini, saya minta halalkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|