Tuduhan telur penyu, fitnah kotor politik: Bung

Tuduhan telur penyu, fitnah kotor politik: Bung

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersedia dipanggil pihak berwajib susulan dakwaan di media sosial memperlihatkan beliau sedang bergambar bersama seorang individu dengan sepinggan juadah yang kononnya telur penyu di meja makan.

Sambil menafikan dakwaan segelintir pihak, beliau tampil memberi penjelasan bahawa telur yang didakwa hanyalah telur ayam dikupas kulit, bukannya telur penyu seperti didakwa.

“Saya sedia dipanggil pihak berkaitan dan memberi keterangan, tiada masalah.

“Ini adalah fitnah bagi menjatuhkan karier politik saya dan saya sudah biasa dengan keadaan ini.

“Namun, saya menafikan sekeras-kerasnya apa yang didakwa sesetengah pengguna media sosial dan meminta mereka terlibat dengan taktik kotor sebegini, supaya berhentilah,” katanya, ketika dihubungi sebentar tadi.

Terdahulu, sejak tengah hari tadi, tular satu foto dimuatnaik pengguna Facebook memperlihatkan Bung sedang bergambar dengan seorang individu di meja makan di mana salah satu juadah didakwa segelintir pihak mirip kepada telur penyu.

Untuk rekod, pengambilan telur penyu di negeri ini adalah dilarang di bawah Enakmen Hidupan Liar Sabah 1997.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah berhubung dengan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk menyiasat perkara berkenaan.

Gambar asal yang dimuatnaik pemilik Facebook dikenali sebagai Rapidcdorezo berhubung insiden tular berkenaan.

Dalam pada itu, individu yang memuatnaik gambarnya bersama Bung Moktar dalam foto tular itu, dikenali sebagai Rapidcdorezo tampil memohon maaf kepada Menteri Kerja Raya Sabah berkenaan kerana ia mencetuskan kontroversi.

Pada pautan Facebooknya, Rapidcdorezo turut mendakwa foto yang dimuatnaiknya telah dimanipulasi serta disunting pihak tertentu dan turut memuatnaik gambar asal bagi menjelaskan keadaan sebenar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|