BEAUFORT: Masyarakat di sekitar Kampung Bukau dan Lumadan telah berjaya menyelamatkan sebanyak 2,484 nyawa melalui pendermaan darah sejak tahun 2020 sehingga kini melalui 16 siri program derma darah anjuran pelbagai badan bukan kerajaan di kampung itu.
Menurut Timbalan Pengarah (Klinikal), Hospital Beaufort, Dr Wan Mohd Syazwan Wan Mohd Sabri yang juga merupakan pegawai perubatan bagi Tabung Darah Hospital, jumlah tersebut adalah berdasarkan kiraan satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa, dan melihat rekod pendermaan darah dari Kg.Bukau itu sendiri telah mencatatkan kutipan sebanyak 828 beg darah iaitu jumlah terkumpul sehingga Mei ini.
Timbalan Pengarah (Klinikal), Hospital Beaufort, Dr Wan Mohd Syazwan Wan Mohd Sabri
Para penganjur dan penderma darah seharusnya diberikan pujian, kerana mampu mencatatkan kutipan darah sebanyak ini.
Sinergi antara kedua-dua amat penting bagi memberikan kesedaran pendermaan darah yang berulang dapat membantu kelangsungan stok bekalan darah di hospital, ujar beliau.
Menurut Syazwan lagi, “Bekalan darah yang dikutip di Beaufort sebelum ini, telah berjaya membantu bukan sahaja pesakit-pesakit yang memerlukan di Hospital Beaufort, malah bekalan darah tersebut turut diagihkan ke daerah-daerah lain yangmemerlukan, antaranya Kuala Penyu, Sipitang, Papar, Keningau, Kota Marudu, Pitas, Ranau, Kudat dan beberapa lagi hospital di daerah lain”.
Para penderma darah yang terdiri daripada masyarakar Kg Bukau, Beaufort.
“Kesedaran masyarakat juga amat penting, bagi menggalakkan pendermaan darah ulangan, kerana seorang individu mampu menderma sebanyak empat kalidalan jangkamasa setahun dengan jarak pendermaan adalah 58 hari dari tarikh akhir pendermaan darah, malah kebaikan pendermaan darah juga boleh meransang tubuh untuk menghasilkan sel darah merah baru yang lebih berkesan membawa oksigen ke seluruh anggota badan” tambahnya.
Tambah Syazwan lagi, “Program derma darah anjuran YY Group dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid An-Nur Kg Bukau dan Hospital Beaufort hari ini berjaya mengutip sebanyak 67 beg darah dan kami amat gembira dengan penglibatan penderma-penderma darah generasi muda, ada yang berumur 17 tahun dan 18 tahun yang tentunya menjadi pelapis penderma darah di masa akan datang”.
Deasoka