Dua warga asing maut, motosikal terbabit nahas

Dua warga asing maut, motosikal terbabit nahas

PENAMPANG: Dua lelaki warga asing maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di Kilometer 7, Jalan Penampang-Kota Kinabalu, berhampiran bulatan Towering, dekat sini, pagi Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 6.30 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi bagi tujuan siasatan.

Jelas beliau, kemalangan terbabit melibatkan sebuah lori komersial dan dua buah motosikal yang bergerak dari arah yang sama.

“Hasil siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada tayar gantian milik lori komersial yang sedang dipandu ke destinasinya telah tertanggal di tengah jalan lalu dilanggar oleh sebuah motosikal dan sebuah motosikal yang lain cuba mengelak dari kemalangan tersebut telah terbabas masuk ke dalam longkang sebelah kiri jalan.

“Akibat daripada kejadian tersebut, penunggang dan pembonceng motosikal yang terbabas di dalam longkang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas dan mayat dihantar ke jabatan forensik, Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut, “katanya.

Menurut Erwansyah, kedua-dua mangsa yang maut berusia 27 dan 17 tahun merupakan warganegara asing manakala empat lagi individu yang terlibat dalam kemalangan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat dibawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan.

“Kita juga ingin menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|