Kaamatan wadah promosi perpaduan: Joachim

Kaamatan wadah promosi perpaduan: Joachim

SUBANG JAYA: Sambutan Kaamatan merupakan satu wadah untuk mempromosikan perpaduan sosial dan sebagai jambatan persefahaman di antara masyarakat etnik yang berbeza.

Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, Pesta Kaamatan yang dirayakan setiap tahun merupakan satu wadah untuk bersyukur kepada Tuhan atas tuaian yang baik dan banyak dengan harapan tahun hadapan ianya akan lebih baik.

“Namun dalam era yang moden ini di mana kita tidak lagi menanam padi sebagai kerja utama untuk kelangsungan kehidupan kita, kita raikan lamai Kaamatan ini untuk memberi syukur kepada Tuhan atas kerjaya kita sama ada jadi penjawat awam, swasta atau sebagai usahawan untuk mencari nafkah bagi melangsungkan kehidupan yang lebih baik dan selesa bagi kita dan keluarga tersayang.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) gembira dengan kehadiran rakyat Sabah di sekitar Klang Valley yang terdiri daripada Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) serta tetamu jemputan pada Majlis Penutupan Acara Kemuncak Sambutan Lamai Kaamatan Peringkat KDCA Klang Valley (KDCA KV) kali Ke-29 di Grand Dorsett Subang, di sini, malam tadi.

“Apabila kita mengadakan lamai Kaamatan, selain bersyukur kepada Tuhan, kita juga memanggil saudara yang dekat dan jauh serta kawan rapat untuk bersyukur dengan kita, maka jadilah apa yang kita panggil “Moginakan (majlis makan)”. Dan di sinilah kita mempamerkan budaya kita yang unik menjadikan atau memperlihatkan identiti kita sebagai satu kaum yang berbeda dari kamu yang lain.

“Dalam era yang moden, kita mempunyai pelbagai kebudayaan, we have so many cultural heritage to make us a unique race that we are. Kita ada pelbagai tarian, alat music, sugandoi (pertandingan nyanyian), pakaian tradisi yang dapat tonjolkan persamaan di antara suku suku kaum di Sabah, that can portray our similarities and yet show our differences between the different ethnic group that is found in di Sabah. (yang boleh menggambarkan persamaan kami dan menunjukkan perbezaan kami antara kumpulan etnik yang berbeza yang terdapat di Sabah.)

“Kita juga dapat mempamerkan kearifan setempat (local wisdom), adat tradisi, melalui tarian, muzik, makanan, bahasa, cara hidup, busana tradisi dan sebagainya. Kepelbagaian budaya dan warisan serta keharmonian pelbagai etnik dan sub-etnik di Sabah telah menjadikan ‘Negeri Di Bawah Bayu’ sebagai bumi yang unik bagi setiap rakyat serta tetamu yang bertandang ke Sabah.

“Mari kita tunjukkan budaya kita yang amat tolerant dan ingin berdamai dengan semua kaum yang terdapat di Malaysia. Semoga program seumpama ini mampu membawa kemakmuran, kesejahteraan, dan kedamaian kepada semua yang menyambutnya,” katanya.

Beliau yang turut ditemani oleh isterinya Datin Seri Linda Ewit berkata, kemuncak perayaan Kaamatan adalah pertandingan Unduk Ngadau, di mana peserta yang tercantik dari segi penampilan mereka di depan juri professional akan dinobatkan sebagai Unduk Ngadau.

Mengucapkan syabas kepada KDCA Klang Valley kerana melaksanakan aktiviti CEPA (Communication, Education and Public Awareness) melalui pelbagai aktiviti interaktif di reruai pameran dan sesi perkongsian ilmu yang secara tidak langsung menyentuh isu mengenai keterjaminan makanan dan serta mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, kesemua ini adalah untuk meningkatkan talian persaudaraan di kalangan pelajar Sabah yang belajar di sekitar Klang Valley.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Senator Datuk Noraini Idris yang merasmikan pembukaan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Klang Valley yang mempamerkan elemen keterjaminan makanan melalui pendekatan agropertanian; pemeliharaan warisan, seni dan budaya; keusahawanan, agropelancongan; pemerkasaan golongan belia dan tumpuan terhadap komponen SDG yang menyokong usaha Kerajaan dalam konsep kelestarian. 

Joachim berharap dan menyokong agar momentum kolaborasi di antara semua pihak yang terlibat serta KDCA Klang Valley dapat diteruskan dengan pelbagai lagi aktiviti seperti ini pada masa yang akan datang.

Turut hadir, Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Tiong Ken Sing; Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Noraini Idris; Penasihat KDCA Klang Valley, Datuk Toisin Gantor; Pengerusi KDCA Klang Valley, Julie Jidwin; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sambutan Pesta Kaamatan KDCA Klang Valley, Stevie Sebol; Ketua Pegawai Eksekutif, Agape Superior Living Sdn. Bhd., selaku rakan kolaborasi Utama,  Dato’ Sri Dr. How Kok Choong; Profesor Datuk TS. Dr. Ramzah Dambul; Pengasas dan Penasihat Titijaya Land Bhd, Tan Sri Lim Soon Peng; Penasihat, Persatuan Kebudayaan dan Warisan Malaysia Borneo (MANTRA), Azizah Abas serta Pegawai-pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|